Pemuda MCA lapor SPRM berkait projek MyKiosk

Pemuda MCA lapor SPRM berkait projek MyKiosk

Ketua Pemuda MCA Selangor Tan Jie Sen berkata hanya lebih separuh daripada kios membabitkan pelaburan besar sedang digunakan.

Ketua Beliawanis MCA Ivone Low (kiri), Ketua Pemuda MCA Pahang Wong Siew Mun (tiga dari kanan) dan Ketua Pemuda MCA Selangor Tan Jie Sin (dua dari kiri) antara yang hadir di ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan ke atas projek MyKiosk bernilai RM250 juta bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ketuanya, Tan Jie Sen mendakwa hanya lebih separuh kios yang menelan pelaburan besar itu digunakan.

“Banyak pihak berkuasa tempatan mempunyai kiosk tidak digunakan secara berkesan. Shah Alam dan Petaling Jaya mempunyai lebih 200 kios, tetapi hanya sekitar 20 digunakan. Di Puchong Perdana, hanya empat daripada 20 kios sedang beroperasi.

“Kami turut menerima aduan (peniaga) bumbung kios bocor dan tiada bekalan elektrik, ada pula yang terletak di kawasan tidak strategik,” katanya di luar ibu pejabat SPRM di sini.

Beliau ingin tahu sama ada kios, yang dilancarkan bawah fasa pertama projek MyKiosk 1.0, akan diselenggara atau dinaik taraf sewajarnya.

Tan juga meminta kementerian mendedahkan semua kos dan agensi terbabit projek itu, khasnya butiran proses tender terbuka untuk memperoleh kios berkenaan.

Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low dan Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun mewakili kumpulan itu memasuki ibu pejabat SPRM untuk membuat laporan pada 11 pagi tadi.

Sebelum ini, Pemuda MCA Pahang dilaporkan bersedia ke pejabat SPRM bersama DAP bagi membantu siasatan ke atas projek MyKiosk.

Sayap itu mempersoalkan kenapa kerajaan membayar RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 bagi seunit kios.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, angka RM25,000 mengelirukan kerana ia termasuk kos panel solar, kipas, dapur, pengangkutan dan pemasangan.

Tetapi, Wong berkata, kajian pasaran oleh Pemuda MCA menunjukkan kos peralatan tidak begitu tinggi dan meminta penjelasan berhubung perbezaan itu.

Beliau turut mengkritik Nga mengugut akan mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan maklumat salah projek MyKiosk memandangkan kebebasan bersuara adalah hak berperlembagaan.

Semalam, Nga dilaporkan berkata, Jabatan Kerajaan Tempatan diarah mengesan TikToker didakwa menyebarkan berita palsu dan video fitnah projek MyKiosk di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.