‘Nilai keluarga’ jadi tumpuan utama bicara gulung Sapura

‘Nilai keluarga’ jadi tumpuan utama bicara gulung Sapura

Saman pengasas Sapura, Shamsuddin Abdul Kadir, terhadap anak-anak lelakinya pada 2012 turut disebut di mahkamah.

kl high court
Shahriman Shamsuddin mahu Mahkamah Tinggi menggulung SHSB atas alasan saling kepercayaan dan keyakinan dengan abangnya, Shahril, sudah musnah dan tidak dapat dibaiki lagi.
KUALA LUMPUR:
‘Nilai-nilai kekeluargaan’ dan sepucuk surat yang ditulis oleh pengasas Sapura, Shamsuddin Abdul Kadir kepada kedua-dua anak lelakinya tahun lepas menjadi tumpuan utama dalam pendengaran petisyen untuk menggulung Sapura Holdings Sdn Bhd (SHSB) di Mahkamah Tinggi hari ini.

Shamsuddin, yang memberi keterangan sebagai saksi di pihak anak bongsunya, Shahriman, iaitu pempetisyen, merujuk nilai kekeluargaan dalam surat yang ditulisnya pada Julai 2024.

Ketika pemeriksaan balas, peguam S Rabindra, yang mewakili anak sulung dan responden kedua, Shahril, mencadangkan bapa berusia 90 tahun itu sendiri mengabaikan nilai-nilai kekeluargaan apabila menyaman dua anak lelakinya pada 2012.

Rabindra: Jauh sekali daripada mencerminkan nilai kekeluargaan, tindakan kamu menyaman anak-anak kamu sendiri pada 2012 jelas menunjukkan bahawa kamu sebenarnya pentingkan kepentingan peribadi semata-mata.

Shamsuddin: Saya tidak setuju.

Rabindra: Hakikat bahawa kamu pernah menyaman anak-anak lelaki kamu sendiri, dan mengugut untuk menyaman mereka sekali lagi, menjadikan sebarang rujukan kepada ‘nilai-nilai’ dalam surat itu seolah-olah langsung tidak bernilai.

Shamsuddin: Saya tidak setuju.

Dalam testimoninya, Shamsuddin mengakui dia tidak menyebut saman pada 2012 itu dalam buku autobiografinya, ‘A Driver’s Son’.

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan cadangan Rabindra bahawa kegagalan memasukkan butiran itu menjadikan ingatan dan kenangan yang dicatatkan dalam bukunya itu tidak boleh dipercayai dan bersifat selektif.

Dia turut menolak satu lagi cadangan peguam bahawa dia menulis surat itu kerana menjangkakan, dan sebagai persediaan untuk petisyen yang difailkan pada September tahun lepas – atau bahawa ada orang lain menasihatinya untuk menulis surat itu.

Ketika pemeriksaan semula oleh S Gopal yang mewakili Shahriman, Shamsuddin cuba menjelaskan dakwaan percanggahan antara surat itu dan tindakannya menyaman anak-anaknya.

Gopal: Boleh kamu beritahu mahkamah kenapa kamu saman Shahril, Shahriman, dan Brothers Capital Sdn Bhd?

Shamsuddin: Selepas saya setuju memindahkan hartanah dan 15% pegangan SHSB (kepada Brothers Capital), saya tidak dapat sebarang manfaat, walaupun mereka janji saya akan dapat manfaat. Saya beritahu anak-anak saya untuk pulangkan hartanah saya dan 15% pegangan yang mereka ambil.

Gopal: Rakan (peguam) saya yang arif mencadangkan bahawa (tindakan) menyaman anak-anak kamu itu tidak konsisten dengan apa yang kamu sebut tentang nilai dan kepentingan keluarga. Anda tidak setuju, kenapa?

Shamsuddin: Saya saman mereka kerana mereka tidak tunaikan janji.

Gopal: Turut dicadangkan, selepas menyaman Shahril dan Shahriman, nilai kekeluargaan yang anda sebut itu tidak lagi wujud. Anda tidak setuju (juga), kenapa?

Shamsuddin: Kerana ia masih syarikat keluarga.

Mahkamah juga mendengar bahawa saman itu telah diselesaikan pada 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Leong Wai Hong bersambung esok.

Shahriman sedang berusaha menggulungkan SHSB, syarikat induk kepada lebih 40 anak syarikat dengan gabungan aset bernilai RM832 juta. Kumpulan itu turut merangkumi entiti tersenarai, Sapura Resources Bhd

Shahril dan Shahriman masing-masing memiliki 48% pegangan dalam SHSB, dengan baki 4% dipegang oleh Rameli Musa.

Dalam petisyen yang difailkan pada September lepas, Shahriman menyatakan bahawa penggulungan itu perlu dilaksanakan kerana keruntuhan saling kepercayaan dan keyakinan antara beliau dan Shahril tidak boleh dibaiki lagi.

SHSB, Shahril dan Rameli – kesemuanya dinamakan sebagai responden – membantah petisyen itu.

Mereka mendakwa SHSB tidak pernah dirancang menjadi syarikat keluarga, dan tidak adil dan saksama sekiranya ia digulung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.