
Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) yang baru dikemas kini turut memasukkan peraturan baharu bagi sektor sedang berkembang, merangkumi ekonomi digital dan hijau.

“Wajar bagi kita menaik taraf ACFTA agar dirangkumkan ekonomi digital,” kata Felo Penyelidik Kanan Lee Kuan Yew School of Public Policy, Denis Hew.
Katanya, melangkaui perdagangan, perjanjian dikemas kini itu membolehkan kerjasama dalam latihan kemahiran digital, perkongsian sains dan teknologi, dan ekosistem meluas bagi mendukung perusahaan kecil dan sederhana di rantau ini.
“China merupakan peneraju teknologi berkembang. Contohnya seperti DeepSeek, di mana China membuktikan anda tidak perlu belanja berbilion dolar untuk melabur dalam kecerdasan buatan (AI). Anda dapat lihat banyak inovasi berlaku di China,” katanya.

Tricia Yeoh dari University of Nottingham Malaysia, setuju sambil menambah China juga boleh bekerjasama dengan Asean membangunkan kerangka tadbir urus AI bersama dan program serantau menyerupai program Erasmus+ di Eropah, bagi memudahkan pertukaran bakat digital antara Asean dan China.
Namun, Yeoh ketika memberitahu FMT berkata, lebih banyak mampu dilakukan, mengambil kira pelaburan China untuk memperkukuh struktur sosioekonomi Asean, yang turut memberi manfaat kepada republik itu sendiri.
“Malaysia yang mempengerusikan Asean, sepatutnya mengoptimumkan perkara berkenaan dengan melakukan perundingan lebih kukuh dan tegas untuk memberi manfaat kepada seluruh blok,” katanya memaklumkan ia termasuk pembiayaan bersama infrastruktur tenaga boleh diperbaharui dan pertanian lestari, serta rantaian bekalan Asean lebih berdaya tahan.
Tetapi, beliau juga mengingatkan Asean mesti bersedia menyatakan pendirian, terutama mengenai isu sensitif seperti berlaku di Laut China Selatan.
“China perlu menyokong kepusatan Asean dalam menangani isu perairan wilayah, memandangkan ketika ini tindakan negara itu sedang menjejaskan kepercayaan di seluruh rantau ini.
“Asean perlu bersedia membentangkan perkara ini, dan mendapatkan persetujuan China agar kedua-dua pihak mencapai perjanjian baik,” katanya.
Yeoh mencadangkan kerjasama maritim lebih mendalam—termasuk sistem keselamatan amaran awal bersama dan penyelidikan sains marin—sebagai sebahagian proses pembinaan kepercayaan lebih meluas.
Perkukuh daya tahan ekonomi
Kemas kini ACFTA menjadi antara hasil utama bawah kepengerusian Malaysia, bersama dengan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean yang dijangka dimuktamadkan akhir tahun ini.
Kedua-dua, Hew dan Yeoh menekankan ACFTA dikemas kini bersesuaian dengan strategi perdagangan lebih luas Asean, terutama ketika tadbir urus perdagangan global yang goyah.
“Banyak daripada Asean+1 FTAs, termasuk dengan China, ditandatangani lebih sedekad lalu. Menerusi kemas kini khususnya ACFTA, membantu mengembangkan lagi rantaian bekalan serantau dan integrasi ekonomi Asean yang kalis masa depan,” kata Hew.
Seperti kebanyakan negara, Asean semakin menekankan perjanjian serantau dan dua hala demi melindungi kepentingan ekonominya.
“Kita ada kebebasan bertindak di sini. Kita mampu memperkukuh daya tahan ekonomi menerusi kerjasama dan integrasi ekonomi. Dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ketika ini tidak berfungsi, inilah satu-satunya jalan mempermudah perdagangan dan pelaburan lebih besar,” kata Hew.
WTO memantau sistem dagang pelbagai hala global, namun tahap relevan agensi itu dipertikai susulan rundingan perdagangan tertangguh, dan kritikan Amerika Syarikat terhadap mekanisme penyelesaiannya.
Menekankan kepentingan kerjasama dua hala dan serantau lebih erat, Yeoh berkata Asean mesti berterusan memupuk hubungan dan ikatan kukuh dengan blok antarabangsa utama lain, seperti Kesatuan Eropah, Amerika Latin, dan Afrika.
“Hubungan global ini akan menyumbang daya tahan lebih tinggi ketika berdepan peningkatan konflik dan ketidaktentuan ekonomi yang semakin mendalam. Manfaatnya bukan sahaja dari segi ekonomi dan perdagangan, tetapi juga aspek keselamatan dan budaya,” katanya.
Kuala Lumpur dijadual menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean pada 26 dan 27 Mei.
Dengan persaingan AS-China yang semakin meruncing selain tadbir urus perdagangan global makin lemah, pemimpin Asean dijangka menumpukan usaha memperkukuh autonomi strategik dan daya tahan ekonomi.