
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim S Nantha Balan berkata, hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh Fakrurzy Aroff terhadap lembaga tatatertib Majlis Daerah Padang Terap.
“Setelah meneliti rekod rayuan dan mempertimbangkan hujahan, kami dapati tiada merit dalam dakwaan ketidakwajaran prosedur atau pelanggaran prinsip keadilan asasi,” kata Nantha Balan.
Hakim berkata, perayu telah menjawab tuduhan salah laku terhadapnya secara bertulis, serta menghadap jawatankuasa tatatertib sebelum keputusan dibuat.
Beliau juga berkata, perayu bagaimanapun tidak meminta majlis daerah menzahirkan dokumen dan tidak menyatakan dia mahu memanggil saksi.
“Menurut peruntukan undang-undang, hak untuk didengar tidak bermaksud hak untuk pendengaran lisan bersifat adversari kerana ini prosiding tatatertib dalaman majlis,” katanya menambah, Fakrurzy juga gagal mengemukakan keterangan yang mencukupi untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan.
Nantha Balan berkata, panel berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi telah meneliti kes tersebut dengan betul dari segi proses yang diguna pakai, dan wajar untuk tidak menyemak semula inti pati keputusan itu kerana ia terletak dalam bidang kuasa lembaga tatatertib majlis.
Sambil menekankan penyalahgunaan gelaran Pingat Perkhidmatan Setia, hakim itu berkata, hukuman pemecatan yang dikenakan oleh jawatankuasa tatatertib itu adalah adil, munasabah dan setimpal, memandangkan ia menyentuh soal integriti perayu.
“Kami dapati tiada sebab untuk campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman,” katanya dalam alasan ringkasnya.
Anggota lain dalam panel mendengar rayuan itu terdiri daripada Hakim Collin Lawrence Sequerah dan Ahmad Kamal Shahid.
Mahkamah juga memerintahkan Fakrurzy, 38, membayar kos RM10,000 kepada majlis daerah itu.
Menurut fakta kes, Fakrurzy, seorang pekerja kontrak dalam tempoh percubaan, diberhentikan kerja pada 22 Ogos 2021.
Tuduhan pertama adalah berkaitan dengan kelakuannya tidak menyerahkan pakaian seragam dan aksesori kepada seorang kakitangan majlis, dan tuduhan kedua adalah bagi kesalahan membuat tuntutan palsu berjumlah RM32.05.
Dia juga didakwa menggunakan gelaran darjah kebesaran walaupun tidak dinyatakan dalam buku perkhidmatannya.
Tuduhan keempat adalah berkaitan permohonan Fakrurzy untuk mendapatkan pinjaman bank, dengan menyifatkan dirinya sebagai kakitangan ‘tetap’ majlis daerah, walaupun dia hanya pekerja kontrak.
Salah laku itu berlaku antara 27 Jan dan 31 Mac 2021.