
Rafizi dan Nurul Izzah – kedua-duanya ikon reformasi atas kredibiliti sendiri – melancarkan kempen saling berbeza, masing-masing mencerminkan persona politik dan visi untuk masa depan parti.
Menjiwai kempennya yang dinamakan ‘Hiruk’ – difahamkan mewakili semangat juang – sepanjang minggu lepas, Rafizi berani, lantang dan dengan tegas mencetuskan konfrontasi, dilihat bersedia mendedahkan dan menangani kelemahan dalaman PKR.
Ahli Parlimen Pandan dua penggal itu juga membangkitkan apa yang didakwanya sebagai kelemahan yang terserlah baru-baru ini dalam disiplin parti dan akauntabiliti kepimpinan, mengkritik beberapa pemimpin pada peringkat kempen di pelbagai negeri.
Mesejnya dekat di hati pengundi bandar cenderung ke arah reformasi, yang melihat pendekatan lantangnya diperlukan sebagai semak dan imbang dalaman, malah terhadap kerajaan perpaduan.
Di pihak lawan, Nurul Izzah memilih memberikan tumpuan pada penyatuan parti menerusi kempen ‘Damai’.
Kempen naib presiden PKR itu tertumpu pada usaha mengurangkan ketegangan dan memulihkan perpecahan antara cabang sambil menyatukan akar umbi parti – pendekatan yang dilihat sebagai halus, lembut dan berhemah.
Kempen Nurul Izzah banyak berteraskan emosi dan kesetiaan terhadap parti, menarik sokongan ahli lama serta ketua-ketua cabang, dengan lebih 200 daripada 222 cabang secara terbuka menyatakan sokongan terhadapnya.
Pendekatan Rafizi dilihat oleh penyokong – khususnya pengundi bandar yang menjadi tonggak asas sokongan PKR – sebagai ikhlas dan penting, walaupun ada yang menganggapnya tegas dan tidak berlapik.
Sementara itu, ada pula yang berpendapat, strategi Nurul Izzah yang lebih lembut kurang ‘berisi’, manakala keyakinannya yang jelas – didorong oleh sokongan kuat daripada cabang-cabang PKR – kadangkala dilihat seolah-olah hampir selesa.
Bagaimanapun, sentimen ahli parti serta masyarakat umum tidak selalunya mencerminkan sentimen perwakilan yang akan mengundi Jumaat ini.
Cabaran ‘nepotisme’
Bagi Nurul Izzah, persepsi nepotisme merupakan suatu realiti yang sukar dielakkan memandangkan beliau anak presiden parti, Anwar Ibrahim.
Sekalipun beliau menang secara demokrasi melalui pemilihan nanti, pengkritik tetap akan melabelkan kebangkitannya sebagai kesinambungan dominasi keluarga itu dalam parti.
Walaupun rekod prestasinya membanggakan, Nurul Izzah dan Anwar perlu menguruskan persepsi yang akan timbul apabila perdana menteri mengetuai parti, dengan anaknya sebagai timbalan.
Sementara itu, Rafizi dilihat sebagai seseorang yang berfikiran bebas, cukup berani untuk tidak tunduk sepenuhnya pada dasar parti, dan tidak takut untuk membangkitkan isu. Dalam parti yang dikatakan semakin leka, kehadirannya dilihat oleh sesetengah pihak sebagai perlu bagi mengelakkan PKR menjadi kultus personaliti.
Namun, perkara itu turut membawa beban tersendiri, apabila menteri ekonomi itu turut dituduh – termasuk oleh Ahli Parlimen PKR yang lantang, Hassan Karim – sebagai cuba memecah-belahkan parti dan mengetepikan Anwar.
Pengkritik juga mempersoalkan keutamaannya selepas beliau bercuti daripada tugas menteri selama seminggu untuk ‘menguruskan’ isu-isu yang timbul ketika pemilihan cabang.
Kebarangkalian dan kemungkinan hasil
Berdasarkan deklarasi dan sokongan umum, Nurul Izzah jelas menjadi calon pilihan. Hampir setiap cabang menyatakan sokongan terhadapnya, menyukarkan laluan Rafizi mencapai kemenangan.
Walaupun kempen Rafizi mungkin bersemangat dan berkobar-kobar, ia mungkin tidak cukup dalam sistem pemilihan parti yang mengutamakan kesetiaan dan struktur parti.
Namun, pertandingan ini semakin jelas bukan sekadar persaingan antara dua pemimpin yang berwibawa, malah menjadi petanda arah tuju PKR ketika parti itu bersiap sedia menghadapi PRU akan datang.
Di satu pihak, desakan Rafizi untuk pembaharuan disegerakan dan pengawasan dalaman yang lebih ketat boleh menimbulkan rasa tidak puas hati serta perpecahan dalaman. Sementara itu, laluan kestabilan dan kesinambungan yang ditawarkan oleh Nurul Izzah pula berisiko menimbulkan persepsi nepotisme.
Walaupun kedua-dua pemimpin itu menegaskan keperluan memastikan Anwar menjadi perdana menteri buat satu lagi penggal, cara mereka bertindak sebagai timbalan presiden PKR untuk mencapai perkara itu semestinya akan berbeza.
Kongres Nasional PKR, bersama-sama perhimpunan sayap Pemuda dan Wanita, akan diadakan dari 21 hingga 24 Mei, dengan pengundian untuk pemilihan pucuk pimpinan pusat dijadualkan pada 23 Mei.