
Harian Metro melaporkan Ooi Chin Leng, 38, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa bersama seorang individu masih bebas membunuh Fouzi Hussen, 24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua pada 5.25 pagi 24 Jan 2013.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi mendapatkan laporan DNA tertuduh kerana ia kes lama dan tertuduh baru ditangkap polis.
Majistret tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Julai ini sebutan semula kes, termasuk mendapatkan profiling DNA tertuduh.
Media pernah melaporkan seorang ‘bouncer’ maut ditembak seorang lelaki dalam pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni, Butterworth pada 24 Jan 2013.
Ketua Polis Pulau Pinang ketika itu, Abdul Rahim Hanafi dilaporkan berkata, seorang lelaki tempatan ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada 5.25 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati perbincangan perniagaan antara mangsa dan beberapa lelaki bertukar menjadi pergaduhan apabila gagal mencapai kata sepakat.