
Contohnya, pelabur mula menangguhkan semua perancangan, manakala ekonomi global juga merasai kesannya, kata Denis Hew, felo kanan di Lee Kuan Yew School of Public Policy kepada FMT.
“Memang wajar sekiranya perniagaan rasa bimbang,” katanya.
Hew, yang sebelum ini ketua unit dasar di Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik berkata, tidak bijak membuat pelan perniagaan dan keputusan ekonomi setiap suku tahun sedangkan pelabur mengambil pendekatan perancangan jangka panjang.
“Jika saya mahu membina kilang di Vietnam, saya perlu lihat apa akan berlaku dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Jika apa yang bakal berlaku dalam 90 hari sekalipun tidak dapat dijangka, saya tidak akan melabur.”
Menurutnya, kebanyakan syarikat multinasional kini menangguhkan pelaburan mereka.
Pada 9 April lalu, hanya beberapa jam selepas tarif timbal balik berkuat kuasa, Trump mengumumkan penangguhan selama 90 hari untuk negara terkesan, kecuali China.
Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkatam sebagai pengerusi Asean, Malaysia akan menyelaraskan tindak balas serantau secara bersepakat terhadap tarif berkenaan.
Namun, negara anggota Asean mahu mengadakan rundingan dua hala dengan Rumah Putih bagi meredakan kesan terhadap ekonomi masing-masing.
Bagaimanapun, pengumuman Trump pada 16 Mei lalu bahawa AS tiada kapasiti mengadakan rundingan perdagangan dengan lebih 75 negara terjejas dan akan mengenakan tarif baharu secara sepihak dalam beberapa minggu akan datang, membayangkan Asean bakal menghadapi masalah.
Hew berkata, penangguhan 90 hari itu tidak banyak membantu memandangkan ekonomi global sudahpun “sakit”.
“Wujud hubungan rapat antara perdagangan dan pelaburan langsung asing di rantau ini disebabkan semua rantaian bekalan global yang ada.”
Menurutnya, antara perkara paling merisaukan adalah Asean mungkin menjadi kurang kompetitif disebabkan kemungkinan pelabur melihat ke arah pasaran memuncul lain.
Cabaran di peringkat tempatan
Selain halangan luar, Asean turut menghadapi cabaran dalaman yang memerlukan fokus baharu.
Hew berkata, walaupun rantau ini mengukuhkan kerjasama ekonomi menerusi Perjanjian Perdagangan Barang Asean dan Perjanjian Pelaburan Komprehensif Asean, pelaksanaan terma perjanjian berkenaan tidak sekata.
“Memandangkan sekretariat Asean bukan institusi penguatkuasaan, seterusnya tiada kuasa untuk memastikan pematuhan, desakan negara anggota penting untuk menggerakkannya.
“Cara lain diperlukan untuk memastikan negara anggota mematuhi pelbagai perjanjian Asean yang ada.”
Menurut Hew, memandangkan isu seperti perang perdagangan antara AS-China serta tarif dikenakan Trump, tiba masa negara Asean bekerjasama mengukuhkan integrasi ekonomi.
“Kita perlu membaiki produktiviti, melabur dalam inovasi dan meningkatkan kemahiran semula pekerja dalam pada kita menggunakan lebih banyak teknologi digital.”
Kemungkinan komplikasi dan kelebihan
Hew berkata, perubahan demografi di sekitar rantau Asean turut membawa peluang dan kesukaran tersendiri.
“Di Singapura dan Thailand ada masalah penuaan populasi, tetapi di Filipina pula populasi muda.”
Menurutnya, ini memberi peluang kepada negara anggota memperluas pengiktirafan bersama perkhidmatan profesional untuk memacu mobiliti tenaga kerja.
Beliau berkata, kuncinya adalah membina sistem yang mampu memadankan kemahiran dengan permintaan merentasi sempadan.
“Contohnya, kita bercakap mengenai peningkatan penggunaan AI, tetapi belum membincangkan isu mengiktiraf jurutera perisian masing-masing.”
Namun, Hew berkata, bukan semuanya negatif.
Menurutnya, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital yang dijadualkan siap tahun ini, nampak bagus secara harfiahnya.
Perjanjian itu – antara perkara ekonomi utama di bawah kepimpinan Malaysia – meliputi isu seperti aliran data merentasi sempadan dan penyetempatan data.
“Namun, hasilnya cuma akan dapat dilihat selepas dilaksanakan. Kita perlu tunggu dan lihat. Pelaksanaannya penting.”
Perkara besar lain adalah ekonomi hijau dan merapatkan jurang pembangunan antara negara anggota, menurut laporan “Building an Asean Economic Community Beyond 2025” yang ditulis bersama oleh Hew.
“(Umumnya) keadaan bukan seperti biasa selama ini. Persekitaran ekonomi global kini semakin dingin.”
Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini. Ia akan memberi peluang kepada negara anggota mengemudi haluan ke arah ketahanan kolektif dan kemakmuran seiring tema tahun ini, “Inklusiviti dan Kelestarian” dalam menghadapi cabaran geopolitik serta ekonomi kompleks.
Blok itu juga akan melancarkan Wawasan Komuniti Asean 2045 bagi melakar keselamatan ekonomi dan politik serantau, selain keutamaan sosiobudaya dan perancangan pada masa akan datang.