Sabah ‘sedikit maju’ bila kerajaan parti tempatan, kata Bung

Sabah ‘sedikit maju’ bila kerajaan parti tempatan, kata Bung

Ketua Umno Sabah berkata perubahan berlaku apabila BN mengambil alih pentadbiran pada 1994.

Bung Moktar
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, berkata 1963 hingga 1994 menyaksikan negeri ketinggalan kerana parti tempatan kerap bertelingkah dan berebut kuasa.
PETALING JAYA:
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata negeri menyaksikan ‘sedikit kemajuan’ apabila kerajaan negeri ditadbir parti tempatan pada masa lalu.

Bung berkata, bermula 1963 hingga 1994, tempoh itu hanya membawa sedikit kemajuan kerana parti tempatan kerap bertelingkah dan berebut kuasa, katanya menurut Utusan Borneo.

Beliau mendakwa, situasi itu mengakibatkan tumpuan lebih mengurus politik, bukan mengurus pembangunan negeri dan rakyat.

Banyak kawasan luar bandar ketinggalan, prasarana yang daif, kadar kemiskinan terus bertambah, dan tiada pelan pembangunan yang tersusun kerana kerajaan kerap bertukar ganti, katanya.

“Ini berlaku ketika era parti-parti tempatan memerintah negeri Sabah selama hampir 40 tahun,” katanya menurut laporan berkenaan, sambil menyeru pemimpin Sabah bersatu demi kepentingan negeri dan rakyat.

“Dalam usaha menyeru perpaduan, kita juga perlu bersikap adil terhadap sejarah supaya kesilapan lama tidak diulang atas nama semangat baharu.”

Bung mendakwa, perubahan dan kestabilan politik hanya berlaku apabila Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran pada 1994.

Katanya, dengan adanya kestabilan, kerajaan BN dapat beri tumpuan kepada pembangunan ke seluruh pelusuk Sabah.

“Keupayaan untuk membawa pembangunan ini bukan datang daripada slogan, tetapi hasil kestabilan, pengalaman, dan rangkaian pentadbiran yang mantap antara negeri dan persekutuan,” katanya seakan merujuk slogan ‘Sabah for Sabahan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.