Rafizi tahu tentang vendor baharu pengundian PKR, kata Fuziah

Rafizi tahu tentang vendor baharu pengundian PKR, kata Fuziah

Setiausaha Agung PKR nafi dakwaan timbalan presiden parti bahawa vendor dilantik secara rahsia.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata, Rafizi Ramli tidak bantah keputusan guna vendor baharu pada mesyuarat MPP parti.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menyangkal dakwaan timbalan presiden parti Rafizi Ramli bahawa tiada perbincangan diadakan sebelum vendor baharu dilantik untuk sistem pengundian parti.

Fuziah berkata, Rafizi tidak membantah keputusan menggunakan vendor baharu itu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti yang dihadirinya.

“Isu vendor tidak pernah timbul dan beliau tidak pernah pertikai siapa vendor itu atau apa yang mereka buat,” katanya kepada FMT.

Rafizi mendakwa semalam, vendor yang menguruskan sistem pengundian PKR dilantik secara ‘rahsia’ pada Disember lepas, tanpa dibincangkan oleh biro politik parti.

Fuziah berkata, parti itu memutuskan untuk tidak terus menggunakan vendor sebelum ini, yang berpangkalan di luar negara, disebabkan isu komunikasi dan cabaran logistik lain. Perkara itu turut dipersetujui biro politik, tambahnya.

Katanya, parti memutuskan untuk menaik taraf dan menambah baik aplikasi Adil sedia ada, kerana ‘membangunkan (aplikasi) baharu akan mengambil masa terlalu lama’.

Beliau berkata penambahbaikan pada aplikasi itu termasuk ciri keselamatan baharu, seperti penyepaduan teknologi ‘blockchain’ dan pengecaman muka untuk keselamatan tambahan.

“Dan penambahbaikan ini telah dibincangkan,” katanya.

Fuziah berkata, vendor baharu itu dilantik untuk mengendalikan penambahbaikan sistem dan menguruskan pemindahan data daripada vendor terdahulu.

Katanya, keputusan untuk menerima pakai pengundian elektronik telah dibuat pada 30 Nov dan dipersetujui oleh MPP.

Beliau berkata, walaupun terdapat perselisihan faham mengenai pelantikan juruaudit – yang membawa kepada perbincangan beberapa kali sebelum kata sepakat dicapai – tidak ada pertikaian sedemikian mengenai vendor.

Sumber dalaman PKR mendakwa, Rafizi sudah biasa dengan vendor sedia ada dan telah menghubungi mereka secara peribadi.

“Bagaimanapun, vendor itu enggan bertemu dengannya pada masa itu kerana Rafizi calon dalam pemilihan parti,” kata sumber itu.

Menurut sumber, Rafizi cuba mengatur pertemuan dengan vendor di pejabat Invoke, tetapi vendor itu menolak untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

FMT telah menghubungi Rafizi untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.