
Perasmian itu sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
Sempena majlis itu, Anwar turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Mildef dengan syarikat pertahanan utama Indonesia PT PINDAD dan kerjasama tersebut membuka peluang eksport, pemindahan teknologi serta integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau.
Beliau turut menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara Mildef dengan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride), iaitu sebuah agensi penyelidikan utama bawah Kementerian Pertahanan.
RIBAT, merujuk kepada amalan menjaga dan mengawal di persempadanan untuk mempertahankan keselamatan. Ia melambangkan kesiapsiagaan, keberanian, dan semangat pengorbanan demi tanah air.
Ia dinamakan sendiri oleh perdana menteri yang membawa nilai simbolik tinggi, serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mildef, Mohd Nizam Kasa, berkata pelancaran RIBAT bukan sahaja mencerminkan keupayaan industri tempatan, malah satu manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasakan ekosistem pertahanan yang berdikari dan berimpak tinggi.
“RIBAT merupakan hasil inovasi tempatan yang membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna sistem pertahanan, tetapi pencipta teknologi strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti global,” katanya.
Penanda Aras Nasional dan Serantau RIBAT dibangunkan oleh jurutera tempatan dengan sokongan kemudahan kejuruteraan bertaraf industri di Seremban dan Sepang.
Ia dilengkapi sistem perlindungan balistik modular dan direka untuk misi seperti rondaan, konvoi dan operasi khas.
Pada LIMA kali ini, Mildef juga dijangka memeterai kontrak bagi pembekalan 136 unit Tarantula kepada Tentera Darat Malaysia.