
Ia dipercayai membabitkan tawaran kerja kontrak pembangunan dan senggaraan dari 2021 hingga kini.
Lima daripada suspek terbabit direman lima hari sehingga 24 Mei ini manakala seorang lagi direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas membenarkan permohonan SPRM.
Menurut sumber, suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita itu ditahan pada 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Dua suspek utama berjawatan pengarah serta jurutera di sebuah jabatan kerajaan di ibu negara dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang ditawarkan kerja kontrak pembangunan dan senggaraan di bawah seliaannya antara 2021 hingga kini.
“Turut ditahan adalah pasangan suami isteri bersama bapanya seorang pemilik syarikat yang bergelar Datuk dan seorang kontraktor kerana disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam mendapatkan rasuah daripada kalangan kontraktor,” katanya, menurut Harian Metro.
Katanya, hasil siasatan mendapati dua suspek utama menerima suapan kira-kira RM115,000 daripada orang tengah dalam bentuk wang tunai, pembiayaan ubah suai rumah dan pemberian telefon bimbit.
“Dalam Op Kepala yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 10 premis di sekitar Lembah Klang dan Johor semalam, SPRM menyita dua unit kenderaan jenis Toyota Hilux, wang tunai kira-kira RM165,000.
“Sebanyak 95 akaun perbankan yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat membabitkan jumlah kira-kira RM6 juta turut dibekukan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.