Pemandu lori terbabit kemalangan FRU didakwa pindah lembu curi

Pemandu lori terbabit kemalangan FRU didakwa pindah lembu curi

Rudi Zulkarnain Mat Radi mengaku tidak bersalah atas tuduhan memindahkan dua lembu curi di Hutan Melintang.

Rudi Zulkarnain Mat Radi
Rudi Zulkarnain Mat Radi didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas tuduhan memindahkan dua ekor lembu curi pada 14 April lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan 13 Mei lalu yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas tuduhan memindahkan dua lembu curi.

Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman, lapor Utusan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan harta curi iaitu seekor lembu jantan berwarna hitam baka KK Cros dan seekor lembu jantan berwarna putih baka Brahman milik seorang lelaki warga emas daripada tempat asalnya di sebuah kebun dekat Kampung Keli Sungai, Hutan Melintang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang pada 6 petang, 14 April lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hafizudin khan Norkhan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula.

Media semalam melaporkan, Rudi Zulkarnain yang dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan, ditangkap semula bagi membantu siasatan kes curi lembu.

Pada Jumaat lalu, dia mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian di KM 15, Jalan Sungai Manik pada 13 Mei.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.