
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, berkata langkah itu sementara menunggu keputusan muktamad mengenai pengharaman vape di Selangor.
Katanya, tindakan itu selaras peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852), yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik.

“Baru-baru ini, satu mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di Selangor diadakan dan telah meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan vape, termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan, serta pemantauan.
“Isu penjualan secara dalam talian turut dibincangkan memandangkan ia sukar dikawal dan sering menjadi saluran utama kepada golongan remaja untuk mendapatkan produk ini,” katanya dalam kenyataan.
Bulan lalu, Jamaliah dilaporkan berkata Selangor sedang meneliti secara menyeluruh cadangan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape susulan saranan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Katanya, satu mesyuarat bersepadu akan diadakan dalam masa terdekat melibatkan semua agensi berkepentingan dari negeri dan pusat.
Setakat ini, hanya Kelantan, Johor dan Perlis mengharamkan penjualan vape, manakala Terengganu akan melaksanakan larangan mulai 1 Ogos. Pulau Pinang dan Kedah masih mempertimbangkan cadangan itu.
Sementara itu, Jamaliah berkata penggunaan vape dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan ketara, berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, dianggarkan hampir 14.9% remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun di adalah pengguna vape.
Katanya, statistik itu amat membimbangkan dan mencetuskan keperluan mendesak untuk tindakan proaktif di peringkat negeri.
“Kerajaan Selangor ingin memastikan setiap dasar diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang.
“Kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan dalam memastikan tindakan diambil benar-benar berkesan dan mampan,” katanya.