
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata pendekatan menteri ekonomi itu bukan bermakna bertindak seperti kebudak-budakkan sebaliknya mahu meredakan ketegangan mungkin timbul ketika acara berkenaan.
“Beliau bukan merajuk atau berperangai kebudak-budakan, tetapi hanya strategi kerana Rafizi tahu kebanyakan ahli sayap tidak menyokongnya.
“Jika beliau rasmikan kongres sayap mungkin timbul insiden tidak elok yang beri kesan kepadanya jadi untuk elakkan perkara itu, elok beliau terus tak pergi,” katanya kepada FMT.
“Saya pasti ketika ucapan perasmian mungkin ada banyak sorakan negatif atau kejadian ‘boo’ di sana-sini.”
Ahad lalu, Rafizi menjelaskan keputusannya tidak merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita PKR dibuat susulan pelanggaran adab serta hierarki parti apabila program pelancaran jentera PRN Sabah diumumkan tanpa perbincangan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Rafizi dilaporkan menghantar surat kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan keputusannya untuk tidak menerima undangan bagi merasmikan mesyuarat dua sayap parti itu.
Kongres Pemuda dan Wanita PKR akan diadakan pada 22 Mei dengan majlis perasmian dijadualkan pada malam sebelumnya. Pemilihan pucuk pimpinan parti dijadualkan pada 23 Mei, disusuli pembukaan Kongres Nasional PKR pada 24 Mei.
Tindakan Rafizi undang lebih banyak musuh dalam PKR
Bagaimanapun, Tawfik Yaakub dan Mazlan Ali senada tindakan tidak matang Rafizi boleh merugikan karier politiknya dalam PKR.
“Rafizi perlu ada jiwa besar dan kena sedar, beliau masih penyandang jawatan timbalan presiden maka laksanakanlah tugas selagi masih diberi tanggungjawab,” kata Tawfik dari Universiti Malaya.
“Tindakan Rafizi mungkin sebabkan ada pihak tertentu dalam kalangan AMK dan Wanita tidak senang dengan tindakannya,” tambah Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia.
“Pertandingan itu soal lain, sekarang dia adalah timbalan presiden sah sepatutnya ambil pendekatan mesra dengan semua orang tetapi bila tak nak rasmi (kongres sayap) beri gambaran Rafizi tak mesra, tidak mahu berkawan dengan mereka.”
Dakwaan padang tak sama rata, beri gambaran Rafizi tak percaya parti sendiri
Mengenai dakwaan Rafizi, pertembungan jawatan timbalan presiden seolah-olah disusun untuk memenangkan Nurul Izzah Anwar, Tawfik berkata ia menggambarkan pemimpin nombor dua PKR itu tidak mempercayai sistem pemilihan partinya sendiri.
“Rafizi seolah-olah tak yakin dengan pemilihan parti, maka lebih baik beliau menarik diri daripada terus bertanding.
“Sekurang-kurangnya dia boleh melakar sejarah baru satu-satunya calon timbalan presiden tarik diri saat akhir,” katanya.
Dalam ceramah siri jelajah Hiruk di Sarawak Sabtu lalu, Rafizi mengakui keputusan bertanding pada pemilihan kali ini sebagai ‘berani mati’ dalam keadaan dia tahu akan kalah berdepan Nurul Izzah.
Beliau mendakwa, pemimpin PKR yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah juga adalah bertujuan melemahkannya supaya menarik diri daripada mempertahankan jawatan timbalan presiden.
“Saya masuk (pemilihan) saya terima hakikat kalau saya menang, dunia akan kiamat. Gila ke apa, kau menang dalam keadaan segala-galanya telah disusun, ini sebenarnya pertandingan atas padang tak sama rata,” kata Rafizi.