DNA babi, 51 tan ikan sejuk beku dirampas

DNA babi, 51 tan ikan sejuk beku dirampas

Produk itu dirampas Maqis Pulau Pinang kerana bercanggah deklarasi asal dalam dokumen import.

Pihak berkuasa merampas 51 tan produk ikan sejuk beku dari China bernilai RM63,500, di Terminal Kontena Butterworth Utara. (Gambar Maqis Pulau Pinang)
BUTTERWORTH:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menyita 51.3 tan konsainan dagangan produk ikan sejuk beku yang mengandungi DNA babi dan ayam dari China di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Maqis Pulau Pinang dalam kenyataan, memaklumkan penahanan itu susulan pemeriksaan terperinci pegawai penguat kuasa yang mendapati dokumen import dagangan itu mengandungi maklumat mengelirukan.

“Barangan itu diisytiharkan sebagai ‘frozen cuttlefish intestines’ berbentuk sosej sejuk beku, ‘frozen cuttlefish balls’ serta ‘frozen cuttlefish tofu’, dan analisis DNA oleh Jabatan Kimia mengesahkan produk tersebut mengandungi DNA babi dan ayam.

“Ia bercanggah dengan deklarasi asal dalam dokumen import dan semua konsainan dagangan seberat 51.3 tan bernilai RM63,534.57 itu disita sepanjang tempoh siasatan kes berjalan,” menurut kenyataan itu.

Maqis memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan.

Kenyataan itu juga memaklumkan pengimport telah dikenakan kompaun dan barangan dagangan akan dilupuskan mengikut tindakan penguatkuasaan diperuntukkan di bawah akta sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.