Azalina saran kerajaan kaji lanjut usia bersara 65

Azalina saran kerajaan kaji lanjut usia bersara 65

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata ramai berusia lingkungan 60-an masih aktif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata rugi jika mereka bersara pada usia 60 tahun.
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan kaji melanjutkan umur persaraan kepada 65, sambil menyatakan ramai kekal aktif walaupun dalam lingkungan 60-an.

Beliau yang memegang portfolio undang-undang dan reformasi institusi berkata demikian atas kapasiti peribadi berdasarkan pemerhatian dan trend sosial semasa.

“Sebab ada pegawai yang kami jumpa, masih muda, masih sangat aktif, cuma mereka dah berumur 60 tahun.

“Rugi (melepaskan mereka). Mereka masih boleh bekerja,” katanya selepas hadir majlis anugerah perkhidmatan cemerlang dan jasamu dikenang kluster undang-undang dan reformasi institusi.

Katanya, jumlah rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas bertambah, dan ramai dalam kalangan mereka masih kelihatan muda dan bertenaga.

Tahun lalu, dilaporkan rakyat Malaysia berusia 60 dan ke atas mewakili 11.1% populasi, dan nisbah itu dijangka meningkat kepada 15% menjelang 2030, menjadikan Malaysia sebagai negara menua.

Pada 2014, Malaysia menaikkan had umur persaraan kepada 60 melibatkan sektor awam dan swasta, masing-masing meningkat daripada 58 dan 55. Langkah itu bertujuan menyediakan sokongan kewangan untuk warga emas sambil menggalakkan hari tua yang sihat dan aktif.

Membandingkan profesion dan negara lain, Azalina merujuk umur hakim di Malaysia bersara pada usia 65, dengan kemungkinan lanjutan kepada enam bulan.

“Masa saya pergi mesyuarat menteri undang-undang Asean, ada yang sampai usia 70. Hakim mereka ada yang 65 dan berkhidmat sampai usia 70 tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.