5 lagi ditahan kes lelaki diserang kumpulan bertopeng, berparang

5 lagi ditahan kes lelaki diserang kumpulan bertopeng, berparang

Polis menahan dua suspek Sabtu lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Seorang lelaki parah diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan berparang di depan sebuah restoran di Jalan Raja Uda pada Khamis lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Lima lagi suspek ditahan selepas seorang lelaki parah diserang sekumpulan lelaki bertopeng di depan sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Butterworth, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, C Tharmalinngam, berkata semua suspek berusia 30-an itu ditahan di sekitar Pulau Pinang semalam dan hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya menurut Sinar Harian.

Seorang lelaki dilaporkan parah diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan berparang di depan sebuah restoran di Jalan Raja Uda kira-kira 7.20 malam Khamis lalu.

Mangsa dilaporkan diserang seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang ketika sedang membuka pintu kereta, setibanya di restoran itu untuk makan bersama rakan.

Mangsa cuba melarikan diri, tetapi dilanggar kereta dinaiki suspek hingga terjatuh dan diserang tiga lelaki bertopeng menggunakan parang.

Mangsa cedera parah itu kemudian melarikan diri ke sebuah klinik swasta dekat tempat kejadian bagi mendapatkan bantuan dan diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut serta dalam keadaan stabil.

Dua suspek dalam lingkungan 30-an ditahan Sabtu lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Polis meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Irwan Shah di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.