
Timbalan Pengerusi Interimnya, David Marshel, berkata jika tidak dicegah, tindakan itu boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian kaum serta agama di negara ini.
“Insiden pertama melibatkan tindakan merobohkan patung suci di Kuil Sri Maha Ayiram Kannudayar Alayam, Kapar.
“Belum reda isu tersebut, kini satu lagi kejadian serupa berlaku di Kuil Dewi Sri Kaliamman Alayam, Tasik Permai-F, Ampang, di mana seorang individu ditahan ketika cuba merosakkan patung di kuil berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Mendakwa kejadian itu rancangan berniat jahat pihak tertentu, Marshel berkata beliau kecewa selepas suspek yang ditahan hanya dilabel sebagai ‘orang tidak waras’ tanpa siasatan lanjut.
Marshel berkata, parti itu juga memandang serius gerakan tertentu di media sosial yang menyebarkan naratif berbahaya, termasuk menuduh kuil sebagai ‘struktur haram’.
“Kami kesal kerana sehingga kini tiada tindakan tegas diambil terhadap akaun-akaun media sosial yang menyebarkan maklumat tidak sahih dan berunsur hasutan terhadap penganut Hindu.
“Trend hasutan di media sosial juga amat membimbangkan dan menunjukkan ciri-ciri tindakan pelampau agama, malah berpotensi menjurus kepada bentuk terorisme terhadap penganut agama lain,” katanya.