
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, berkata mengikut kebiasaannya, Timbalan Presiden Rafizi Ramli akan membuat pelancaran kerana beliau juga pengarah pilihan raya parti.
Beliau mendakwa ramai lagi ketua cabang hanya dimaklum dua atau tiga hari sebelum majlis, selain mempersoalkan keperluan pelancaran jentera negeri ketika jawatankuasa pilihan raya masih belum dibentuk susulan baru sahaja selesai pemilihan cabang.
Katanya, majlis menimbulkan kontroversi itu dianjur Biro Politik tanpa ada perbincangan dengan PKR Sabah.
“Walaupun saya dalam pimpinan negeri, dan juga antara ketua cabang…saya pun tidak tahu perkara itu kerana (pelancaran jentera) dibuat tiba-tiba. Kami di peringkat negeri langsung tiada bincang.
“Bila keluar poster, saya ada tanya ketua negeri (Mustapha Sakmud) adakah perkara ini dimaklumkan kepada pengarah pilihan raya kerana secara tradisinya dilancarkan oleh timbalan presiden (Rafizi Ramli) yang juga pengarah pilihan raya parti.
“Ketua negeri maklumkan keputusan jemput Izzah dan Amirudin dibuat Biro Politik, tapi pada saya walaupun dibuat Biro Politik tapi kena bincang dengan negeri supaya kita bergerak bersama,” kata ketua cabang Tuaran itu kepada FMT.
Semalam, Rafizi menjelaskan keputusannya untuk tidak merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita PKR dibuat susulan pelanggaran adab serta hierarki parti apabila program pelancaran jentera PRN Sabah diumumkan tanpa perbincangan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Tiada mesyuarat, tiada makluman rasmi. Tiba-tiba keluar poster mengatakan Izzah dan Amiruddin akan melancarkan jentera pilihan raya pada tarikh dan masa yang sama dengan program saya,” kata Rafizi yang dipetik Sinar Harian dalam siri kempennya di Perak malam tadi.
Laporan media mengesahkan Izzah dan Amirudin berada di Sabah untuk melancarkan jentera PKR negeri itu, hari yang sama Jelajah Hiruk oleh Rafizi diadakan.
Ahli tersepit, ramai nak dengar Rafizi
Mengulas lanjut, Razeef berkata keadaan itu mencetuskan kebingungan dalam kalangan akar umbi, selain bimbang wujud persepsi ‘PKR Sabah cuba sabotaj Rafizi dan menunggang Nurul Izzah dan sebaliknya’.
“Kami di negeri tersepit sebab ramai dah bagi komitmen untuk dengar kempen Rafizi, tapi bila tiba-tiba ada pelancaran jentera kononnya dianjurkan oleh PKR Sabah, jadi takkanlah ketua cabang tidak datang.
“Jadi, ada antara anggota terpaksa berlari-lari pergi ke program A dan B,” jelasnya.