Perjanjian perdagangan baharu perkasa hubungan Asean-Rusia, kata penganalisis

Perjanjian perdagangan baharu perkasa hubungan Asean-Rusia, kata penganalisis

Penganalisis berkata, ia buka pasaran baharu pengimport tetapi halangan logistik dan geopolitik perlu ditangani.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow ketika lawatan kerja pada 13 hingga 16 Mei lalu. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Perjanjian seperti Program Strategik Asean-Rusia untuk Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan dijangka merancakkan semula hubungan ekonomi antara blok serantau itu dan Moscow, kata penganalisis.

Dengan butiran lanjut masih diperincikan, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, perjanjian perdagangan itu tepat pada masa negara Asean giat mencari pasaran alternatif di tengah-tengah ketegangan perdagangan global yang semakin memuncak.

azmi hassan
Azmi Hassan.

“Asean melihat peluang besar kerana dengan tarif dikenakan Presiden AS Donald Trump, rantau ini perlu mencari pasaran baharu. China sudah menjadi rakan yang mapan, dan perbincangan mengenai kawasan perdagangan bebas Asean-Kesatuan Eropah masih berjalan.

“Namun, Rusia membuka peluang baharu untuk Asean mengeksport lebih banyak produk, khususnya barangan pertanian. Kita juga boleh meningkatkan eksport elektronik dan menghantar lebih banyak ke pasaran Rusia,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, Malaysia juga mahu mempunyai dasar perdagangan lebih bebas, berdasarkan pendiriannya terhadap sekatan AS, terutama selepas Jabatan Negara AS menyenarai hitam enam syarikat elektronik tempatan tahun lalu kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Rusia.

Enam syarikat Malaysia itu terdiri daripada Zeolite Mansford Sdn Bhd, Maxtrum Capital Sdn Bhd, Centrina United Sdn Bhd, Gyntec Carbon Sdn Bhd, Moralability Industry Sdn Bhd, dan Melix Global Sdn Bhd.

“Kita sebelum ini menyatakan bahawa sekatan AS ke atas Rusia adalah unilateral dan tidak membabitkan kita. Walaupun dengan tekanan itu, beberapa syarikat kita masih menjalankan perdagangan dengan Rusia,” katanya.

Penglibatan dua hala Malaysia yang semakin meningkat dengan Rusia turut diperlihatkan menerusi lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari 13 hingga 16 Mei lalu, di mana beliau bertemu Presiden Vladimir Putin bagi membincangkan kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Dilaporkan bahawa Rusia dan Malaysia akan memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga termasuk potensi kerjasama nuklear, selepas langkah serupa diambil Vietnam.

Ruang untuk pertumbuhan

Felo Penyelidik di Institut China dan Asia Moden Elena Burova berkata, Rusia menunjukkan komitmen kukuh untuk meluaskan jejak perdagangannya di Asia Tenggara.

Elena Burova
Elena Burova.

“Walaupun berdepan sekatan berat dan cabaran logistik, Rusia berjaya meningkatkan perdagangan dengan Indonesia, Malaysia dan Singapura.

“Menurut ASEANstats, jumlah dagangan antara Rusia dan Asean mencecah USD17.7 bilion pada 2024, iaitu 13% lebih tinggi berbanding 2023. Namun, ia masih belum pulih daripada paras tertinggi USD18.1 bilion pada 2021,” katanya.

Bagaimanapun, Burova berkata, perdagangan Asean-Rusia masih terhalang oleh rangkaian pengangkutan, kebergantungan tinggi kepada Singapura sebagai hab perdagangan, serta fokus Asean yang lazimnya terarah kepada China, AS, dan EU.

Beliau menyifatkan dimensi ekonomi dalam hubungan Asean-Rusia sebagai ‘antara yang paling lemah dalam kerjasama ini’.

Namun, Burova berkata, peningkatan tekanan ekonomi oleh AS dan ketegangan perdagangan AS-China yang semakin memuncak boleh mengganggu rantaian nilai global dan membuka peluang untuk Rusia membuat kerjasama lebih mendalam dengan Asean.

“Perusahaan Rusia dalam sektor di mana barangan mereka berdaya saing boleh menjadi antara elemen dalam rantaian ini,” katanya.

Bagaimanapun, Felo Kanan di Institut Iseas-Yusof Ishak Ian Storey mengingatkan agar tidak melebih-lebihkan potensi Rusia di Asia Tenggara.

Ian Storey
Ian Storey.

Katanya, Rusia masih merupakan pemain ekonomi yang sederhana di rantau ini berbanding rakan dagang utama Asean yang lebih dominan, terutama dalam sektor infrastruktur atau pelaburan langsung asing (FDI) tinggi.

“Memandangkan Rusia bukanlah pemain ekonomi atau ketenteraan utama di Asia Tenggara, peluang untuk Asean dan negara anggotanya memperdalam hubungan ekonomi adalah terhad,” katanya.

Semasa lawatan Anwar ke Moscow, Setiausaha Politiknya Kamil Abdul Munim berkata, Malaysia dan Rusia sedang giat menangani cabaran berkaitan sekatan, ketika perdagangan dua hala berkembang, didorong minat yang meningkat daripada sektor kerajaan dan swasta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.