
Sebelum ini, wujud persepsi BN terutama Umno Sabah terbahagi kepada kem Ketuanya Bung Moktar Radin dan Timbalannya Abdul Rahman Dahlan yang dilihat berbeza pendapat dalam beberapa isu.
Bilcher Bala dan Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata penegasan Zahid terhadap spekulasi perpecahan dalaman itu menunjukkan kepimpinan parti mampu mengendalikan khabar angin dengan tenang dan profesional.
“Ia menunjukkan Umno sedia menghadapi PRN dengan strategi jelas dan bersatu, tanpa terganggu isu dalaman selain menunjukkannya dan matang serta mampu mengutamakan rakyat berbanding kepentingan peribadi serta kumpulan,” kata Bilcher kepada FMT.
Syahruddin pula berkata selaku ketua gabungan, Zahid dilihat cuba menenangkan penyokong Bung Moktar dan Rahman, serta akar umbinya bahawa semua pihak dalam satu pasukan dan tidak terbawa-bawa dengan emosi kumpulan tertentu dalam parti.
“Tindakan pantas Zahid sebagai usaha mengawal naratif dan mengelakkan kerosakan lebih besar dalam parti dan luar parti,” katanya yang menyifatkan jika spekulasi perpecahan dalaman tidak ditangkis boleh menjadi bola tanggung kepada kempen parti lawan.
Kelmarin, Zahid yang juga presiden Umno menafikan kewujudan kumpulan Bung Moktar dan Rahman, ketika komponen itu bersiap menghadapi PRN.
Bilcher dan Syahruddin setuju tindakan Zahid mampu meningkatkan sokongan akar umbi dan pengundi, selain menunjukkan kemampuan Umno mentadbir dengan efektif dan mengatasi cabaran yang mungkin timbul.
“Penafian ini memperlihatkan Umno Sabah sentiasa fokus kepada kemenangan di kerusi-kerusi DUN yang akan ditandingi dalam PRN17 dan bukan kepada perbalahan dalaman.
“Inisiatif presiden Umno ini juga berpotensi menarik minat pengundi atas pagar yang mahukan kestabilan politik,” kata Syahruddin, timbalan dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.