Beri mereka cermin, Akmal ulas ‘permintaan terbaru’ DAP

Beri mereka cermin, Akmal ulas ‘permintaan terbaru’ DAP

Ketua Pemuda Umno berkata ahli DAP wajar cermin diri sendiri apabila ingin membuat 'permintaan terbuka' bagi PRN Melaka akan datang.

akmal saleh
Dr Akmal Saleh berkata pihaknya juga tidak mahu calon yang tidak faham Perlembagaan Malaysia dan tidak menghormati antara satu sama lain. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh meminta DAP ‘cermin diri’ selepas parti itu sekali lagi mengemukakan permintaan secara terbuka bagi PRN Melaka.

“Bagi mereka cermin,” kata Adun Merlimau mengulas kenyataan DAP Jasin yang mahu kerajaan perpaduan diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak menamakan ahli politik mengamalkan politik ekstrem sebagai calon PRN Melaka akan datang.

Akmal berkata, pihaknya juga tidak mahu calon yang tidak faham Perlembagaan Malaysia dan tidak menghormati antara satu sama lain.

Dalam mesyuarat agung tahunan diadakan Sabtu lalu, 15 cawangan DAP di Jasin itu sebulat suara meluluskan usul menyokong calon kerajaan perpaduan dengan syarat mereka tidak mengamalkan politik ekstrem.

“Semua 15 Cawangan DAP turut menyatakan pendirian tegas untuk menolak mana-mana ahli politik atau parti yang mengamalkan politik ekstrem, perkauman atau agama yang memecahbelahkan perpaduan rakyat

“DAP Jasin komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih bersatu, adil dan makmur. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membawa politik kebencian dan perpecahan,” menurut kenyataan itu.

Cawangan yang meluluskan usul itu ialah Kelubi, Air Barok, Taman Maju, Jasin Lalang, Parit Keliling, Pondok Batang, Asahan, Kong Sai, Air Panas, Serkam Pulai, Simpang Kerayong, Jalan Rim, Bukit Katong, Kemendor, dan Ladang Asahan.

Walaupun tidak menamakan mana-mana ahli politik, gerakan tersebut dipercayai ditujukan kepada Akmal.

Parlimen Jasin mempunyai lima DUN termasuk Merlimau yang kini disandang pemimpin Umno tersebut.

Sebelum ini, Akmal mengecam DAP selepas sembilan cawangan parti itu di Melaka menggesa BN dan PH berkongsi kerusi sama rata dalam PRN akan datang.

Dalam kenyataan bersama, semua cawangan menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 DUN Melaka, selari semangat kerjasama dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN. Pada PRN 2021, BN memenangi 20 kerusi, PH (5) dan Perikatan Nasional (3).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.