ASP didakwa terima rasuah deposit motosikal, ubah suai rumah

ASP didakwa terima rasuah deposit motosikal, ubah suai rumah

Firdaus Mohamad mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan terima rasuah daripada kontraktor.

Firdaus Mohamad dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu bagi menghadapi tuduhan menerima rasuah RM13,500 pada 2018. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dua tuduhan menerima rasuah melibatkan kerja ubah suai rumah dan deposit pembelian motosikal berkuasa tinggi berjumlah RM13,500 pada 2018.

Firdaus Mohamad, 40, yang kini bertugas di Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Dalam Negeri, IPK Kelantan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, Firdaus didakwa menerima bayaran pengubahsuaian rumah bernilai RM9,000 secara percuma tanpa sebarang balasan daripada seorang kontraktor ketika bertugas sebagai ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Machang antara Januari hingga Jun 2018.

Pegawai berpangkat asisten komisioner itu juga didakwa menerima RM4,500 sebagai bayaran pendahuluan pembelian motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Versys, daripada individu sama di IPD Machang pada Januari 2018.

Semua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.