
Menerusi program tuisyen intensif, mereka belajar dalam satu kumpulan untuk mengulangkaji bagi berdepan peperiksaan utama terbabit.
Seorang daripada Aqlee Azlan sebenarnya telah merancang menjadi penghantar makanan kerana merasakan mustahil lulus SPM kerana kurang motivasi serta putus asa.
“Saya dapat keputusan sangat rendah. Saya tiada sebab untuk belajar, tiada semangat. Saya rasa tak boleh bertahan,” katanya kepada FMT.

Namun segalanya berubah apabila dia memutuskan untuk mengubah masa depannya dan mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan.
Dia mengadakan sesi perbincangan belajar secara kecil-kecilan dan meminta tunjuk ajar dalam subjek Matematik dan Sains – subjek yang paling mencabarnya.
“Tiada siapa, termasuk saya sendiri, yang sangka saya akan lulus,” katanya.
“Kalau saya tak berusaha, mungkin sekarang saya menganggur, atau jadi penghantar makanan. Tapi lebih daripada itu, saya akan terus terperangkap, murung dan hilang arah.”
Akhirnya Aqlee memperoleh keputusan 5B dalam subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan Pendidikan Islam.
Kini, dia bercita-cita menjadi usahawan kulinari, menggabungkan minat terhadap makanan dengan teknologi automasi untuk menjadikan memasak lebih mudah diakses.
“Saya belajar 12 jam sehari selama dua bulan sebelum peperiksaan. Ia memang sukar, tapi saya belajar bahawa tanpa risiko, tiada ganjaran.”
Aqlee, antara peserta projek perintis anjuran Dutch Lady Milk Industries dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, yang menawarkan program tuisyen intensif selama tiga bulan kepada 20 pelajar dari keluarga miskin menjelang peperiksaan SPM.
Pengarah Hal Ehwal Korporatnya Ezmir Hazizi Azhar berkata mereka memilih pelajar yang benar-benar lemah dalam pelajaran.
“Sebenarnya lebih mudah melabur kepada pelajar cemerlang, tetapi kami mahu memberi peluang kedua kepada pelajar lemah dan golongan miskin bandar,” katanya kepada FMT, sambil menambah projek seterusnya akan dijalankan di Sarawak.
Tiada kewarganegaraan, namun masih ada harapan

Bagi Aidil Abdullah yang berumur 18 tahun, perjalanannya bukan sekadar mengatasi keputusan peperiksaan yang lemah tetapi juga mencari harapan walaupun tiada status sah warganegara.
Dilahirkan di Malaysia, Aidil kekal sebagai individu tanpa kewarganegaraan disebabkan komplikasi dalam status keluarganya. Ayahnya rakyat Malaysia, manakala ibunya rakyat Indonesia dan tidak didaftarkan kelahirannya.
“Saya memang pelajar biasa yang punya impian besar. Tetapi bila tak ada kewarganegaraan, semuanya terasa lebih tidak pasti, lebih sukar,” katanya kepada FMT.
Namun dia tetap tabah dan berjaya memperoleh 6A dalam subjek termasuk Sejarah, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sains, dan Pemprosesan Makanan.
Dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam diploma kejururawatan, walaupun impian sebenar menjadi seorang doktor – tetapi tidak dapat mendaftar dalam bidang perubatan kerana kos tinggi.
Bagi Haris Haikal, dia langsung tidak menyangka mampu lulus dalam bahasa Inggeris, Matematik atau Sains.
“Saya memang tak pernah yakin dengan diri sendiri. Saya selalu rasa saya tak cukup bijak. Biasanya saya gagal dalam kebanyakan subjek,” kata remaja itu, yang memperoleh 3B, 4C dan 1D dalam keputusan SPM.
Detik Perubahan

Namun, bulan-bulan terakhir sebelum peperiksaan mengubah segalanya. Haris menyertai kumpulan belajar yang bertemu selama empat jam setiap hari, mengulang kaji pelajaran dan berkongsi nota.
“Kumpulan itu bantu saya bina keyakinan. Kami saling menyokong dan buat pertama kali saya mula percaya boleh berjaya,” katanya.
Kini dia berazam untuk menjadi jurutera automotif dan suatu hari nanti membuka bengkel sendiri.
Menurutnya, keputusan SPM diperoleh membuktikan perkara yang nampak mustahil boleh dicapai dengan usaha keras dan sokongan yang betul.
“Kepada sesiapa yang bakal duduki SPM, jangan putus asa. Cari kumpulan sokongan, berkongsi ilmu dan jangan berjuang dalam diam,” katanya.