
Mengulas ‘cita-cita’ disuarakan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, Akmal yang juga exco kerajaan Melaka berkata rakyat negeri itu menuntut kehadiran pemimpin benar-benar berkhidmat sepanjang masa.
“PRN Melaka dijangka tahun depan, rakyat nak cari pemimpin berkhidmat sepanjang masa, bukan hanya timbul ketika nak pilihan raya sahaja.
“Kalau ada keyakinan nak rampas Melaka, kena buktikan PN ada pemimpin berkhidmat,” katanya yang juga Adun Merlimau kepada FMT.
Semalam, Azmin dalam hantaran di Facebook yakin Bersatu akan mendapat sokongan majoriti pengundi di Melaka dan menambah beberapa lagi kerusi.
Beliau mendakwa data dan analisa keputusan PRU15 menunjukkan Bersatu berjaya mendapat kemenangan di beberapa DUN lagi yang disifatkan meyakinkan.
Pada PRN 2021, Bersatu menang dua kerusi untuk Perikatan Nasional (PN) iaitu di Bemban (Dr Mohd Yadzil Yaakub) dan Sungai Udang (Mohd Aleef Yusof).
Pada Disember tahun lalu, DUN Melaka mengubah kerusi Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis ke blok pembangkang susulan penyertaannya ke PAS. Beliau menang atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRN lalu.
Sementara itu, Ketua DAP Melaka Khoo Poay Tiong mengingatkan Bersatu supaya kurang bercakap besar sebelum tiba PRN.
“Kurangkan cakap besar, terus laksanakan amanah diberi rakyat.
“Jumpa di PRN Melaka nanti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka.