3 anak Pamela diambil keterangan

3 anak Pamela diambil keterangan

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata keterangan tiga anaknya diambil di Singapura, semalam.

Rusdi Mohd Isa
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata suami Pamela Ling yang ditahan Khamis lalu juga telah dibebaskan dengan jaminan polis.
PETALING JAYA:
Polis telah mengambil keterangan tiga anak Pamela Ling semalam bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wanita berkenaan sejak bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata keterangan tiga anaknya berusia 18 hingga 20 tahun itu diambil di Ibu Pejabat Polis Woodlands, Singapura.

Katanya, polis turut merakam keterangan seorang individu iaitu kenalan keluarga berkenaan di republik itu, menjadikan jumlah individu direkodkan keterangan setakat ini seramai 42 orang.

“Perkara (keterangan) yang diambil itu boleh membantu siasatan terutama pergerakan terakhir wanita berkenaan. Pada 8 dan 9 April dia (Pamela) masih berhubung dengan ahli keluarga.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini seramai 42 individu sudah dirakam keterangan,” katanya yang ditemui dalam program di PPR Desa Rejang hari ini, menurut Harian Metro.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata setakat ini wanita itu masih gagal dikesan dan tiada pergerakan rasmi dijejaki.

“Kalau ikut rekod, dia masih dalam negara tetapi ada juga pergerakan tanpa melalui jalan sebenar.

“Dia tidak ada pergerakan, kemungkinan besar dia masih ada di negara ini, kemungkinan juga dia sudah keluar dari negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata suami Ling yang ditahan Khamis lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari berikutnya sebaik selesai diambil keterangan.

“Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

“Kita belum boleh kata dia sebagai suspek tetapi bila-bila masa pun (suami) boleh dipanggil untuk disambung percakapan atas perkara-perkara (perkembangan) baru,” katanya.

Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menaiki kenderaan e-panggilan untuk memberikan keterangan berkaitan siasatan sedang dijalankan.

SPRM membuka siasatan terhadap Ling dan suaminya Hah Tiing Siu tahun lalu atas dakwaan rasuah serta kesalahan pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.