Ramasamy ancam saman pihak sebar ‘fitnah’ berkait tuduhan pecah amanah

Ramasamy ancam saman pihak sebar ‘fitnah’ berkait tuduhan pecah amanah

Peguamnya, Shamsher Singh Thind, minta semua pihak elak daripada membuat komen spekulatif mengenai kes itu, dan membenarkan proses sewajarnya berjalan.

p-ramasamy
P Ramasamy bersama Shamsher Singh Thind (kanan) tiba untuk pendengaran kes saman fitnah di George Town tahun lalu.
PETALING JAYA:
Pengerusi Urimai P Ramasamy mengancam untuk menyaman pengguna media sosial yang menyebarkan hantaran didakwa berunsur fitnah berhubung 17 pertuduhan jenayah pecah amanah membabitkan dana Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB).

Peguamnya, Shamsher Singh Thind, minta semua pihak harus mengelak daripada membuat komen spekulatif mengenai kes itu, dan membenarkan proses sewajarnya berjalan.

Shamsher berkata pertuduhan terhadap Ramasamy adalah mengenai tidak mendapat kelulusan rasmi PHEB untuk pemindahan lebih RM859,000 antara 2019 dan 2022 bagi pelbagai tujuan.

Ramasamy adalah timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan pengerusi lembaga pada masa itu.

Shamsher dalam kenyataan berkata: “Bukannya Ramasamy membuat pembayaran kepada diri sendiri, saudara mara, atau rakan. Cuma tiada ‘kelulusan terdahulu’ daripada lembaga.

“Sama ada Ramasamy membuat semua 17 pembayaran tanpa kelulusan lembaga pengarah atau tidak, itu sesuatu untuk mahkamah putuskan apabila tiba masanya.”

Shamsher berkata Ramasamy mengarahkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang menyebarkan hantaran berunsur fitnah dan maklumat palsu mengenai dirinya.

P Ramasamy pada Rabu mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana PHEB. Beliau didakwa menggunakan RM859,131.29 dana lembaga itu antara Mei 2019 dan Februari 2022 tanpa mendapat kelulusan rasmi PHEB.

Tiga belas pertuduhan dikaitkan dengan pemerolehan pedati Thaipusam bersalut emas bernilai RM779,131.29 pada 2019.

Dua pertuduhan dikaitkan dengan bantuan perubatan berjumlah RM65,000 dan dua lagi dikaitkan dengan tajaan pendidikan sebanyak RM15,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.