
Ramanan berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, bukan individu atau kumpulan tertentu seperti cuba digambarkan.
“Kenapa beliau (Rafizi) terpaku sangat dengan saya seperti seorang kekasih telah lari…saya tanding naib bukan timbalan.
“Dalam parti ini ada satu juta ahli dan keputusan diambil dari mesyuarat MPP bukan keputusan saya sesuka hati,” katanya ditemui selepas satu majlis.
Semalam, Rafizi mendakwa biro politik parti itu pada asalnya telah bersetuju untuk tidak mengadakan pemilihan tahun ini, sebaliknya ditangguhkan selepas PRU16.
Menurut calon timbalan presiden itu PKR itu, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman lalu kerana bimbang pemilihan parti mencetuskan persaingan sengit bagi jawatan tertinggi sehingga menimbulkan kekacauan.
Dakwanya, keputusan mengadakannya selepas PRU16 dibatalkan atas alasan pemilihan parti perlu diadakan untuk membawa masuk ‘bakat baharu’ seperti Ramanan dan Kamil Abdul Munim.
“Kalau kita kekal dengan keputusan asal dan tidak layan dua tiga orang yang dikatakan bakat baharu yang terlalu ghairah nak masuk, kita takkan ada ‘HIRUK’ dan ‘DAMAI’,” kata Rafizi.
Tahun lalu, dilaporkan bahawa perbincangan telah diadakan dalam mesyuarat pimpinan pusat mengenai kemungkinan menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya umum.
Namun, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, menjelaskan bahawa tiada keputusan muktamad dicapai dalam perbincangan itu.
Perwakilan PKR akan mengundi bagi memilih kepimpinan pusat parti pada 23 Mei ini.