Pengangkutan awam ‘terputus’, pengguna lebih rela pandu sendiri, kata perunding

Pengangkutan awam ‘terputus’, pengguna lebih rela pandu sendiri, kata perunding

Wan Agyl Wan Hassan berkata masalah 'first mile dan last mile' berkait ketersambungan sistem pengangkutan awam perlu diatasi.

Wan Agyl Wan Hassan berkata orang ramai lebih memilih memandu sendiri kerana ketersambungan pengangkutan awam yang terhad.
PETALING JAYA:
Isu ‘first mile dan last mile’ berkait ketersambungan sistem pengangkutan awam antara permasalahan utama perlu diatasi kerajaan jika ingin meningkatkan kepercayaan pengguna, kata seorang perunding.

Pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision Wan Agyl Wan Hassan berkata perjalanan harian tanpa kereta masih kurang menjadi pilihan disebabkan pengguna tiada akses mudah dari rumah ke stesen MRT atau LRT.

Selain itu, ketiadaan bas pengantara yang kerap serta infrastruktur pejalan kaki dan berbasikal tidak mesra turut menyukarkan pengguna, katanya.

Keadaan terbabit, menurut Wan Agyl menyumbang kepadatan kenderaan di jalan raya dan menyebabkan kesesakan melampau terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Wan Agyl Wan Hassan
Wan Agyl Wan Hassan.

“Masalah seperti ketiadaan sambungan ‘first-mile’ dan ‘last-mile’, kelewatan bas, jadual tidak menentu, serta kurangnya integrasi antara bas, rel dan perkhidmatan lain menyebabkan orang ramai lebih rela memandu sendiri kerana mempunyai pilihan itu.

“Singapura, Seoul dan Tokyo bukan sahaja berjaya mengubah sikap rakyat mereka terhadap pengangkutan awam, tetapi lebih penting menyediakan sistem benar-benar mesra pengguna, boleh dipercayai dan menyeluruh.

“Tanpa sistem seperti ini, kempen kesedaran tidak akan mengubah apa-apa,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang kadar 25% penggunaan pengangkutan awam boleh diubah dengan anjakan sikap pengguna menerusi gabungan sistem boleh dipercayai dan kempen kesedaran menyeluruh.

Zahid turut berkata Malaysia berdepan realiti kepadatan kenderaan dengan 38.7 juta kenderaan berdaftar dalam negara sehingga akhir 2024 yang bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.

Tingkat pengangkutan awam luar bandar

Isu ‘first mile dan last mile’ turut dibangkitkan pakar pengangkutan jalan raya Law Teik Hua yang menegaskan penyelesaian masalah itu menjadi prasyarat bagi meningkatkan kesedaran ramai.

“Kesedaran sahaja tidak mencukupi jika sistem pengangkutan awam itu sendiri tidak mesra pengguna, tidak boleh diharap, atau tidak sampai ke kawasan tempat tinggal rakyat.

“Rakyat akan memilih pengangkutan awam apabila lebih mudah, mampu milik dan boleh dipercayai. Jika terpaksa berjalan jauh ke stesen, menunggu lama atau menghadapi kesesakan mereka akan kembali memilih kereta,” kata ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia itu.

Wan Agyl dan Law turut senada berhubung kepentingan untuk meningkatkan sektor pengangkutan awam di pinggir serta luar bandar untuk memberi keadilan kepada warganya.

“Pengangkutan awam sepatutnya menjadi satu hak asas dan bukan kemewahan bandar,” kata Wan Agyl yang menggesa pelaburan berskala besar dan pelan tempatan disesuaikan mengikut keperluan demografi dan geografi.

“Fokus awal kepada Lembah Klang memang wajar kerana menampung hampir 25% populasi negara dan mengalami kesesakan teruk. Namun, tidak boleh dikekalkan dalam jangka panjang memandangkan kawasan lain turut menghadapi cabaran mobiliti,” kata Law.

Perancangan jangka panjang

Law Teik Hua
Law Teik Hua.

Law berkata penyediaan sistem pengangkutan awam di seluruh negara memerlukan rancangan jangka panjang yang boleh dipelajari dari negara jiran, Singapura.

“Benar Singapura kecil dari keluasan dan lebih padat dari segi populasi menjadikan pengangkutan awam lebih mudah dirancang, namun prinsip asasnya masih relevan – iaitu perancangan jangka panjang, pelaburan konsisten, dan integrasi sistem yang tinggi.

“Malaysia boleh belajar dari kejayaan Singapura dalam aspek perancangan transit bersepadu, penetapan harga bijak dan pendekatan berasaskan data untuk meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.

Wan Agyl pula berkata Dasar Pengangkutan Negara (NTP) dan Dasar Automotif Negara (NAP) perlu diselaraskan bagi mengelakkan percanggahan, merujuk kepada sasaran 40% penggunaan pengangkutan awam serta pembangunan sektor automotif.

“Selagi dua dasar ini tidak diselaraskan contohnya dengan menggalakkan industri automotif menyumbang kepada pembangunan pengangkutan awam atau teknologi kenderaan bersama, maka cita-cita mencapai penggunaan pengangkutan awam meluas akan terus terbantut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.