Jangan heret Pemuda PKR dalam pertarungan timbalan presiden

Jangan heret Pemuda PKR dalam pertarungan timbalan presiden

Ketua Pemuda Selangor Izuan Kasim berkata tumpuan harus diberikan kepada visi dan misi.

Izuan Kasim
Izuan Kasim seru semua calon pimpinan agar tidak heret sayap itu dalam kancah pertarungan merebut jawatan nombor dua parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PKR Selangor Izuan Kasim gesa semua calon tidak mengheret sayap itu ke dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden, menjelang kongres parti penghujung Mei ini.

Izuan yang juga calon timbalan Pemuda PKR berkata, tumpuan utama seharusnya pada penyampaian visi dan misi kepada para perwakilan, dan bukan mempergunakan sayap parti itu sebagai alat dalam percaturan politik dalaman.

“Saya menyeru kepada semua calon pimpinan agar tidak mengheret sayap Pemuda di dalam kancah pertarungan bagi merebut posisi timbalan presiden dan terus fokus sampaikan misi visi kepada perwakilan yang akan mengundi di kongres pada penghujung Mei nanti.

“Saat kami Pemuda benar-benar menghayati pesta demokrasi dengan semangat kekeluargaan ini jangan dibuka ruang percikan api perpecahan dalam kalangan generasi penerus reformasi,” katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, calon timbalan presiden Rafizi Ramli menerusi kempennya berkata pada satu ketika dahulu, kekuatan PKR terletak pada sayap Pemuda ‘yang garang dan langgar’ ketika turun berceramah.

“Jika sayap itu tidak berhati-hati dan hanya duduk di belakang membontoti pimpinan ia merupakan ‘resepi parti itu ghuyub di masa akan datang’,” katanya.

Beliau turut memberikan pesanan sama kepada Kamil Abdul Munim yang menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda baru-baru ini.

Izuan berkata Kamil, yang juga setiausaha politik kepada perdana menteri, menang kerana tidak dicabar mana-mana pihak.

“Kenapa tiada mana-mana bakat daripada pasukan saudara Rafizi tidak di ketengahkan untuk mencabar kedudukan Kamil,” katanya.

Dia turut mempersoalkan kenyataan Rafizi yang mengaitkan punca pemilihan pemuda kali ini berlaku adalah kerana keperluan untuk meletakkan Kamil sebagai ketua.

“Hanya kerana seorang anak muda yang berumur 35 tahun boleh memaksa parti untuk melakukan pemilihan, pastinya dilihat sangat janggal,” katanya.

“Pemilihan parti harus menjadi medan menawarkan kepimpinan baharu berkualiti dan berwibawa, bukan pentas mencetus perpecahan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.