Ramanan bidas taktik kotor guna video mengelirukan

Ramanan bidas taktik kotor guna video mengelirukan

Sejak beberapa hari lalu tular klip video menunjukkan R Ramanan memberi wang tunai kepada individu di hadapan pejabat Pakatan Harapan, dipercayai pusat khidmat beliau di Sungai Buloh.

R Ramanan bidas pihak memainkan taktik kotor dengan membuat fitnah pada pemilihan PKR. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Calon naib presiden PKR R Ramanan menjelaskan klip video tular menunjukkan beliau memberi duit kepada seseorang sebenarnya adalah pekerja beliau sendiri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata kejadian itu berlaku sekitar dua tahun lalu selepas PRN Selangor, selain menyifatkan penyebaran video berkenaan suatu tindakan politik kotor oleh pihak tertentu.

“Itu pekerja saya sendiri, apa yang salah? Kalau kita buat politik kotor macam ini, sangat teruklah, ini ibarat fitnah kerana kejadian itu bukan beberapa bulan punya cerita tetapi dah bertahun.

“Yang buat benda nakal ini mereka tahu mereka siapa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar asas keusahawanan anjuran Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

Timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu juga tidak menolak akan wujud lebih banyak ‘taktik kotor’ yang cuba digunakan oleh pihak lawan sepanjang kempen pemilihan parti.

“Memang sekarang ini ada pemilihan parti banyak benda-benda macam ni akan diputar belit dan dipusing,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu tular klip video menunjukkan Ramanan memberi wang tunai kepada individu di hadapan pejabat Pakatan Harapan, dipercayai pusat khidmat beliau di Sungai Buloh.

Debat hanya pada PRU, bukan pemilihan parti

Mengulas cabaran debat Rafizi Ramli kepada Nurul Izzah Anwar, Ramanan berkata tiada keperluan itu memandangkan pemilihan itu dilaksanakan dalam sebuah keluarga besar PKR.

“Kalau ini PRU memanglah kita kena tahu kredibiliti, ideologi dan kehebatan dia tetapi ini pemilihan parti kita semua satu keluarga dan takkan lah apa yang ditawarkan oleh ahli keluarga kita, kita tak tahu?

“Jadi apa yang kita nak buat bila kita wujudkan debat ini? Ini bukan budaya pemilihan parti, itu budaya pemilihan bila pergi PRU.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.