
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pentadbiran Presiden AS Donald Trump yang sukar diduga tindakannya menggugat keyakinan dan kepercayaan terhadap Washington sebagai rakan jangka panjang.
“Sama ada anda sekutu, rakan rapat atau musuh sekalipun, Trump tidak membeza-bezakan. Asean perlukan kuasa besar lain,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata beliau menjangka Asean di bawah Malaysia selaku pengerusi akan lebih rapat dengan Rusia khususnya dalam bidang ekonomi, geopolitik, keselamatan dan pertahanan.
Katanya, usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk Malaysia menyertai kumpulan ekonomi BRICS disifatkan langkah betul kerana dapat mempelbagaikan kerjasama antarabangsa dan membawa Asean ke kerangka alternatif kepada aturan tradisional diketuai Barat.
Malaysia secara rasmi menjadi rakan BRICS pada 1 Jan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 di Kazan yang dipengerusikan Rusia. Thailand dan Vietnam menjadi rakan pada akhir 2024 manakala Indonesia menjadi ahli penuh awal tahun ini.
Felo Penyelidik di Institut China dan Asia Moden di Akademi Sains Rusia, Elena Burova berkata hubungan Asean-Rusia semakin berkembang, merujuk kepada lawatan negara Anwar ke Moscow dan peningkatan penglibatan blok itu dengan BRICS.
Katanya, kerjasama itu membolehkan Asean mengekalkan autonomi tanpa terlalu berpihak sama ada kepada Washington atau Beijing.
“Peranan Rusia sebagai pemain sedang meningkat di rantau ini disambut baik negara Asean yang mahu mengimbangi pertaruhan diplomatik mereka. Rusia boleh menjadi pengimbang dikehendaki di rantau ini.
“Negara Asean berpeluang mendapat manfaat daripada kepakaran Rusia dalam teknologi ketenteraan, kelengkapan dan latihan, yang boleh meningkatkan keupayaan pertahanan serta kesiapsiagaan keseluruhan mereka,” katanya.
Kekangan kerjasama
Bagaimanapun, Burova berkata sekatan Barat mungkin menjejaskan usaha memperkukuh kerjasama ketenteraan antara blok serantau dan Rusia.
“Walaupun sekatan Barat mengehadkan keupayaan Rusia mengeksport kelengkapan ketenteraan, hubungan pertahanan sedang berkembang antara Asean dan Rusia boleh meneroka jalan alternatif seperti kerjasama, latihan dan inisiatif bersama untuk meningkatkan keselamatan serantau.
“Memandangkan kepentingan strategik keselamatan maritim di Asia Tenggara, Rusia terlibat dalam perbincangan dan usaha kerjasama dalam bidang ini,” katanya kepada FMT.
Felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak Ian Storey pula berkata usaha itu termasuk latihan laut bersama Asean-Rusia dan penyertaan berterusan Rusia dalam aktiviti Mesyuarat Menteri- menteri Pertahanan Asean Plus (ADMM-Plus).
Walaupun peluang untuk hubungan Asean-Rusia berkembang sepenuhnya adalah terhad, beliau berkata penglibatan berterusan dengan Asean tetap menguntungkan Moscow.
“Rusia sangat mementingkan negara di Selatan Global,” katanya.
“Hubungan baik dengan negara di Selatan Global mengukuhkan naratif Kremlin bahawa Rusia mempunyai ramai rakan di seluruh dunia dan cubaan Barat mengasingkannya telah gagal.
“Rusia mempunyai rakan lama di Asean, terutamanya Vietnam, Laos, Indonesia, Malaysia dan Thailand.”
Lawatan rasmi Anwar ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei menyerlahkan komitmen Malaysia mempelbagaikan kerjasama antarabangsa dan meningkatkan peranannya dalam landskap global multipolar.
Semasa lawatan itu, Anwar turut menjemput Presiden Rusia Vladimir Putin menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pada Oktober ini, antara platform utama Asean bagi dialog strategik dengan rakan luar utama.