
Pemimpin enggan dinamakan itu berkata ketiadaan pengumuman secara rasmi memberi gambaran seolah-olah wujud konflik dalaman walaupun hubungan semua pemimpin PN berjalan baik.
Beliau mendakwa pelantikan Radzi Jidin menggantikan Ahmad Faizal Azumu sebenarnya telah dibuat sebelum PRK Ayer Kuning, bulan lalu namun tiada pengumuman dibuat seperti sebelumnya.
“Memang kami di dalam pimpinan tidak ada isu atau sebarang konflik, tapi bila pengumuman secara rasmi tidak dibuat ia akan memberi persepsi tidak bagus kepada rakyat diluar dan akan ada buat pelbagai andaian,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, FMT melaporkan timbul persoalan berhubung kedudukan Faizal selepas mesyuarat jabatan penerangan dan komunikasi gabungan itu dipengerusikan Radzi.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dalam satu hantaran di Facebook memberitahu mesyuarat dipengerusikan Radzi selaku ketua penerangan PN.
Disember lalu, Faizal, seorang daripada tiga naib presiden Bersatu dilantik sebagai ketua penerangan PN menggantikan Azmin Ali yang ‘naik pangkat’ kepada setiausaha agung.
Majlis Tertinggi (MT) PN turut mengumumkan Radzi sebagai anggotanya bersama seorang lagi Naib Presiden Ronald Kiandee.
Setakat ini, PN tidak membuat pengumuman berhubung pertukaran jawatan membabitkan Faizal dan Radzi.