
Ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Armizan Mohd Ali, berkata tindakan Ketua Sekretariat Asyraf Wajdi Dusuki yang juga setiausaha agung Umno dan Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail itu telah menimbulkan polemik politik di Sabah.
Menurut timbalan setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, keadaan terbabit menyebabkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan pengumuman berkenaan pada sidang media dalam lawatannya ke Tawau, baru-baru ini.
Anwar dilaporkan mahu kerjasama itu turut membabitkan GRS untuk memastikan kestabilan politik di peringkat persekutuan dan negeri.
“Asyraf dan Saifuddin seharusnya teliti dalam tindakan mereka.
“Mereka bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili gabungan parti masing-masing, namun kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan hanya boleh diguna pakai sekiranya pendirian tersebut mewakili konsensus semua gabungan parti,” kata Armizan kepada FMT.

Beliau mengulas tindakan Asyraf dan Saifuddin Jumaat lalu yang mengumumkan kerjasama BN dan PH untuk PRN Sabah, menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Armizan turut mempersoalkan sama ada sekretariat terbabit boleh mengeluarkan kenyataan media rasmi tanpa merujuk kepada ahli-ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Adakah Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga dibenarkan mengeluarkan kenyataan seumpama itu berkaitan pilihan raya Sarawak kelak.
“Diharapkan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Fadillah Yusof dapat melihat perkara ini supaya perkara serupa tidak berulang pada masa depan,” katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.