Prasarana sasar 40% guna pengangkutan awam menjelang 2030

Prasarana sasar 40% guna pengangkutan awam menjelang 2030

Prasarana sedang melaksanakan perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah pengguna daripada sekitar 1.3 juta tahun ini kepada 1.5 juta menjelang tahun depan.

rapid
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mendedahkan kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 25%.
PETALING JAYA:
Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) optimis dapat mencapai sasaran 40% kadar penggunaan pengangkutan awam di negara ini menjelang 2030, selaras usaha berterusan mempertingkat kemudahan dan perkhidmatan sedia ada.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata dengan sokongan kerajaan, pihaknya sedang melaksanakan perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah pengguna daripada sekitar 1.3 juta pada tahun ini kepada 1.5 juta menjelang tahun depan.

“Antara inisiatif utama ialah penambahan transit aliran ringan (LRT) 3 (laluan Shah Alam) yang dijangka beroperasi hujung tahun ini, penambahan lorong khas bas dan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menambahbaik laluan pejalan kaki ke stesen bas dan LRT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) yang diwakili Pengarah Eksekutifnya Faroze Nadar.

Azharuddin berkata, Prasarana turut merancang peluasan perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang kini semakin popular dalam kalangan penduduk Lembah Klang, serta menambah bilangan bas elektrik sebagai sebahagian daripada agenda mobiliti mampan.

“Lorong khas bas juga amat penting kerana ia menyenangkan bas-bas untuk move up dari segi frekuensi dan memberi perjalanan lebih cepat kepada penumpang,” katanya.

Beliau yakin pendekatan sistematik dan menyeluruh itu mampu menyumbang ke arah pencapaian sasaran 40% penggunaan awam menjelang 2023.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mendedahkan kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 25%, jauh ketinggalan berbanding negara maju seperti Singapura (67%), Seoul (63%) dan Tokyo (73%).

Mengulas lanjut, Azharuddin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Zahid baru-baru ini dan antara perkara dibincangkan ialah keperluan mendesak untuk menambah lorong khas bagi perkhidmatan bas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.