
Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Shamsubahrin Ismail, 59, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen, pada 20 Sept 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadapnya.
Dalam penghakimannya, Muniandy berkata hakim Mahkamah Sesyen telah membuat penemuan fakta bahawa kontrak berkenaan tidak wujud, tetapi fakta itu tidak sejajar dengan keterangan saksi-saksi bahawa perjanjian itu wujud, namun telah dibatalkan pihak KLCC yang menyebabkan pengadu tidak memperolehi kontrak itu.
Beliau berkata, pembatalan kontrak itu adalah di luar kawalan tertuduh (Shamsubahrin) dan hakim Mahkamah Sesyen juga tidak mengambil kira faktor terbabit sebelum membuat penemuan fakta bahawa tertuduh telah menipu pengadu.
“Oleh itu, unsur ‘mens rea’ yang diperlukan untuk sesuatu kelakuan jenayah tertuduh tidak dinyatakan dalam pertuduhan. Hakim Mahkamah Sesyen juga tidak membuat penemuan fakta sama ada mens rea akan dibuktikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Muniandy berkata, syarikat pengadu tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memenuhi kehendak prosedur pendaftaran dan gagal mengemukakan dokumen lengkap yang diperlukan, selain bayaran RM300,000 itu merupakan komisen kepada tertuduh sekiranya projek berkenaan diperoleh.
“Oleh itu, rayuan dibenarkan dan sabitan terhadap tertuduh diketepikan. Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah, manakala peguam Zulkifli Awang mewakili Shamsubahrin.
Perbicaraan kes berkenaan bermula 2 Nov 2022 dengan lima saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh telah memberi keterangan.
Pada April 2021, Shamsubahrin didakwa menipu Izham Ramli, 37, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan kontrak kawalan keselamatan di KLCC dalam tempoh 30 hari sehingga mendorong mangsa memindahkan wang RM300,000 ke akaun Bank RHB milik Tetuan Muhammad Zahir, iaitu mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di KLCC pada awal Oktober 2019 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.