
Bagaimanapun, tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norhamizah Shaiffudin, lapor Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia sebagai pemandu lori jenis Hino telah memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga mengakibatkan kematian kepada S Perumal, 44.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik dalam daerah Hilir Perak. lebih kurang 9.05 pagi pada 13 Mei 2025.
Bagi pertuduhan kedua sehingga sembilan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama menyebabkan kematian kepada Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28, di tempat, masa dan tarikh sama.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes di mahkamah selesai selain melapor diri di balai polis setiap minggu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Francais Sinnappan yang mewakili tertuduh pula memohon jumlah dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mampu kerana berpendapatan kurang RM2,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 bagi semua pertuduhan dan membenarkan syarat-syarat tambahan seperti dikemukakan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan pada 17 Jun ini.
Dalam nahas pagi Selasa lalu, sembilan anggota FRU maut, manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka dilanggar sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.