
Dalam prosiding berkenaan, tertuduh Sun Xue Song, 42, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Oon Kork Chern.
Oon menarik diri daripada mendengar kes demi mengekalkan kesaksamaan kehakiman.
“Sehubungan itu kes ini dijadualkan semula, untuk didengar di hadapan Tuan Rosli Ahmad, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya menurut Bernama.
Kes itu kini ditetapkan untuk pembentangan fakta dan hukuman pada 9.30 pagi, 10 Jun ini, dan Sun diperintahkan untuk terus direman.
Sun pada mulanya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan semasa pertama kali dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Romario Jonoi, pada 7 April lepas.
Warga China itu didakwa memandu kenderaan utiliti sukan secara berbahaya, menyebabkan kemalangan meragut nyawa Marutin di bulatan Kanowit dekat Sibu, kira-kira 1 tengah hari, pada 30 Mac.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto, manakala tertuduh diwakili peguam Terence Tiong.