
Najib Bakar berkata, selepas lebih dua tahun berhempas-pulas memikirkan idea serta strategi, akhirnya jentera komunikasi berjaya menemui mekanisme kompleks membina naratif dengan tersusun, kebetulan ketika pemilihan parti.
“Koordinasi naratif ketika mengangkat calon tertentu untuk pemilihan parti ternyata berjaya sehingga mendapat liputan meluas media berhari-hari.
“Pembangkang seharusnya gusar kerana jentera komunikasi telah memulakan langkah agresif sebegini.
“Pemilihan parti cuma ‘training ground’ untuk perang sebenar di masa hadapan, ia langsung tiada kaitan dengan usaha untuk mengalahkan mana-mana pemimpin,” katanya dalam kenyataan.
Najib, seorang pegawai Kementerian Ekonomi diterajui Rafizi Ramli meletak jawatan bagi membolehkannya bertanding dalam pemilihan peringkat pusat PKR.
Berhasrat membawa perubahan, beliau memohon perwakilan memberi peluang dan sokongan kepadanya sebagai calon bagi penggal 2025-2028.
Mengulas lanjut, Najib berkata komunikasi berkesan oleh jentera kerajaan ketika ini memberi keyakinan kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk capai sasaran menang 80 kerusi Parlimen pada PRU16.
“Daripada bacaan terutama menerusi komen-komen di media sosial, ternyata PKR akan mendapat lebih banyak sokongan rakyat,” katanya.