
Tertuduh, Gusti Ishak Fitri Shah, 30, pada awalnya mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Namun, selepas ditanya majistret sama ada tertuduh faham akan pertuduhan dan hukuman selepas mengaku bersalah memandangkan dia adalah penjawat awam, lelaki itu hanya tersenyum.
“Jangan senyum dekat saya. Saya tanya sama ada kamu mahu mengaku bersalah atau tidak. Jika tidak mengaku salah, kamu perlu dapatkan peguam untuk bela kamu,” kata Shaarmini menurut Harian Metro.
Tertuduh kemudian menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menyimpan bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, kira-kira 7 malam, 13 Jan 2024.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Mei.