Lelaki disyaki solo proses dadah simpan stok RM2.1 juta

Lelaki disyaki solo proses dadah simpan stok RM2.1 juta

Polis Pulau Pinang berkata suspek bergerak solo memproses dan membungkus cantik dadah untuk dihantar secara kurier kepada pelanggan.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata sebahagian dadah dirampas adalah MDMA, selain ketamin, eramin 5, dan ketamin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dadah bernilai RM2.1 juta dirampas susulan penahanan seorang lelaki yang disyaki menggunakan khidmat kurier bagi mengedarkan bahan haram itu, dalam serbuan di Butterworth.

Suspek berusia 41 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas pembongkaran lokasi penyimpanan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) serta rampasan pelbagai jenis bahan, di sebuah pangsapuri.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata suspek menggunakan syarikat perkhidmatan penghantaran barang, dengan dadah dibungkus dengan cantik, sebelum diisytihar sebagai barangan berharga.

“Setakat ini kita mengesan kegiatan itu dijalankannya secara solo dan menjadikan rumah sewa berkenaan sebagai lokasi, di mana suspek akan berpindah jika aktivitinya dikesan.

“Suspek memproses sendiri semua dadah dan bertindak sebagai pembekal dengan mengepos dadah berkenaan kepada pelanggan,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, selain penemuan MDMA lebih 12kg, turut dirampas 15 peket serbuk ketamin (384g), 50 keping kerajang aluminium berisi pil eramin 5, tiga peket pil ekstasi serta peralatan memproses dadah.

Tindakan sitaan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 susulan sitaan kereta jenis Mercedes, barangan kemas, dan wang tunai.

“Keseluruhan rampasan dadah serta harta disita mencecah RM2.33 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.