Komen ‘Sabah for Sabahan’ Zahid mungkin makan diri Umno, kata penganalisis

Komen ‘Sabah for Sabahan’ Zahid mungkin makan diri Umno, kata penganalisis

James Chin berkata komen presiden Umno mungkin menimbulkan kemarahan ramai rakyat Sabah terhadap isu lama, khasnya pendatang tanpa izin.

Ahmad Zahid Hamidi umno sabah
Presiden Umno Zahid Hamidi baru-baru ini menggesa rakyat Sabah tidak membangkitkan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ demi perpaduan nasional. (Gambar Bernama )
PETALING JAYA:
Penganalisis berkata, gesaan Presiden Umno, Zahid Hamidi supaya orang Sabah tidak membangkitkan sentimen “Sabah for Sabahan” demi perpaduan nasional boleh makan diri parti itu menjelang PRN akan datang.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, komen Zahid mungkin menimbulkan kemarahan ramai rakyat Sabah terhadap isu lama, khasnya berkaitan pendatang tanpa izin.

“Ramai rakyat Sabah masih marah dengan isu ‘pendatang tanpa izin’ (PTI) dan mereka ingat ia berlaku ketika Umno berkuasa,” katanya merujuk kehadiran PTI dalam daftar pemilih negeri ketika pemerintahan Barisan Nasional.

“Beliau (Zahid) sepatutnya orang terakhir yang bercakap tentang identiti Sabah,” katanya kepada FMT.

James Chin
James Chin.

Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani masalah PTI di Sabah yang ditubuhkan pada 2012 membuat kesimpulan “terdapat latihan sulit membabitkan pegawai kanan di JPN Sabah, yang nampaknya bertindak bawah arahan pihak atasan politik mereka”.

“Latihan sulit ini membabitkan aktiviti haram berkaitan pemprosesan dan pengeluaran dokumen pengenalan Malaysia kepada PTI demi agenda politik.”

Isnin lalu, Zahid dilaporkan berkata, sentimen “Sabah untuk Sabahan” bersifat “memecahbelahkan” dan tidak membawa manfaat kerana Sabah sebahagian persekutuan, justeru hubungan erat dengan Putrajaya adalah kunci kepada kemakmuran serta pembangunannya.

Slogan itu telah lama dikaitkan dengan gesaan untuk autonomi negeri lebih besar, khasnya berhubung imigresen, pembangunan dan kawalan sumber.

Awang Azman Pawi
Azman Awang Pawi.

Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya bagaimanapun berkata, kenyataan Zahid tidak salah sepenuhnya kerana pembelotan dan ketidakstabilan politik berlaku di Sabah.

“Rakyat Sabah boleh terima, khasnya selepas banyak pembelotan lampau. Umno bukan satu-satunya parti yang cuba melakukan rampasan kuasa, parti tempatan turut berbuat demikian.”

Katanya, kenyataan Zahid hanya cubaan untuk menyatukan Sabah dengan agenda nasional.

“Beliau mahu Sabah menjadi sebahagian arus perdana negara tanpa hilang identitinya. Ia pendekatan inklusif untuk membina semula kepercayaan.

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

“Menolak ‘Sabah for Sabahan’ meletakkan perpaduan nasional di depan, tetapi kerajaan inklusif yang menghormati hak Sabah boleh membina semula kepercayaan dan meraih sokongan pada pilihan raya akan datang.”

Oh Ei Sun, penasihat utama di Pusat Penyelidikan Pasifik, berkata kenyataan Zahid tidak mungkin memberi impak ketara kepada pengundi.

“Pengundi Sabah lebih mementingkan infrastruktur dan pembangunan berbanding slogan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.