
Timbalan perdana menteri berkata sentimen itu juga tidak membawa manfaat kerana Sabah sebahagian Persekutuan dan hubungan erat dengan Putrajaya adalah kunci kepada kemakmuran serta pembangunannya.
“Kita mahu kerjasama antara parti di peringkat persekutuan dan negeri supaya tiada lagi sentimen ‘Sabah for Sabahan’.
“Lagipun, kita semua rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas satu acara di sini.
Beliau berkata, Umno akan bertanding di kerusi dimenangi pada PRN 2020 termasuk telah dirampas atau dimanipulasi pihak tertentu, iaitu syarat sebelum rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pintu tidak ditutup dan pintu tidak dibuka seluas-luasnya supaya kita dapat kerjasama antara parti peringkat pusat dengan parti peringkat negeri supaya tidak timbul slogan Sabah for Sabahan sebab kita sebahagian Malaysia,” katanya.
Jumaat lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan kerjasama PH-BN manakala Ketua Menteri Hajiji Noor dalam kenyataan susulannya tidak menolak kemungkinan GRS bertanding solo.
Hajiji menegaskan parti tempatan Sabah seharusnya menjadi tunjang kepada kerajaan negeri kerana mereka lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau mahu kerjasama menjelang PRN Sabah turut melibatkan GRS bersama PH dan BN.