Kad debit Affin Bank papar ‘spesies salah’ burung enggang cetus kritikan

Kad debit Affin Bank papar ‘spesies salah’ burung enggang cetus kritikan

Adun DAP Violet Yong persoal kenapa pemimpin GPS tidak sedar paparan spesies burung enggang salah pada kad yang eksklusif untuk rakyat Sarawak.

Adun Pending Violet Yong menunjukkan perbezaan dua spesies burung enggang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Affin Bank diseru memohon maaf kerana memaparkan spesies burung enggang yang salah pada kad debit eksklusif untuk rakyat Sarawak, kata Adun Pending Violet Yong.

Katanya, paparan burung itu pada kad ‘akaun simpanan Kenyalang’ itu merujuk ‘great hornbill’, yang didapati di tanah besar Asia, yang bukan berasal dari Sarawak.

violet yong
Violet Yong.

Burung rasmi untuk Sarawak, adalah burung kenyalang, merujuk enggang badak yang didapati di Asia Tenggara dan Borneo. Burung spesies itu juga ada dipaparkan pada RM5.

“Bagaimana Affin Bank guna identiti salah mewakili Sarawak? Enggang Sarawak mempunyai tengkuk berwarna hitam, manakala yang terdapat pada kad berwarna putih, mengesahkan ia adalah spesies salah,” katanya menurut Borneo Post.

Yong, yang juga setiausaha organisasi DAP Sarawak, berkata Affin Bank tidak sepatutnya melakukan kesalahan sedemikian memandangkan kerajaan Sarawak menjadi pemegang saham majoriti, baru-baru ini.

Yong turut mempersoalkan kenapa tiada pemimpin pemerintah daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil maklum kesilapan berkenaan.

Beliau menyeru bank memanggil semula kad tersebut dan mengganti baharu dengan paparan spesies enggan bertepatan.

Affin Bank memperkenalkan akaun simpanan Kenyalang bagi rakyat Sarawak bulan lalu; dengan pemegang kad diberikan kad debit edisi khas, bergambar burung enggang.

Kerajaan Sarawak memegang 31.25% kepentingan dalam bank itu, selepas memperoleh saham tambahan daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.