
Angka pada suku pertama 2025 itu bagaimanapun lebih sederhana berbanding pertumbuhan 4.9% pada suku keempat 2024.
Gabenor Bank Negara (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour, berkata prestasi suku pertama itu didorong aktiviti pelaburan dan pertumbuhan eksport berterusan, khasnya dalam sektor elektrik dan elektronik serta pelancongan.
“Penguncupan pengeluaran minyak dan gas serta normalisasi dalam jualan dan pengeluaran kenderaan, selain kesan asas tinggi adalah faktor yang memberi tekanan kepada pertumbuhan suku pertama 2025,” katanya ketika mengumumkan prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2025 di sini.
Data Jabatan Perangkaan menunjukkan sektor perkhidmatan berkembang 5%, sektor pembuatan (4.1%), pertanian (0.6%), perlombongan (-2.7%) dan pembinaan (14.2%).
Rasheed berkata, inflasi diunjur kekal dalam julat sederhana, didorong kos global terus menurun dan permintaan tidak berlebihan.
“Bagi suku pertama 2025, keseluruhan inflasi turun kepada 1.5%, manakala inflasi teras meningkat kepada 1.9% disebabkan inflasi utiliti dan perkhidmatan mudah alih lebih rendah yang sebahagiannya diimbangi inflasi sewa lebih tinggi.”
Selain itu, lebihan akaun semasa pula lebih besar pada 3.4% dalam suku pertama 2025 berbanding 2.6% pada suku keempat 2024 dengan aliran berterusan pelaburan langsung asing (FDI).
Menurutnya, aliran masuk FDI berterusan itu disokong terutamanya oleh suntikan ekuiti, pelaburan semula keuntungan dan instrumen hutang.
“FDI terutamanya telah disalurkan ke dalam perkhidmatan kewangan dan subsektor teknologi maklumat serta komunikasi.”
Beliau berkata, ekonomi negara akan menerima kesan perubahan dasar perdagangan global, walaupun pertumbuhan permintaan domestik berdaya tahan.
“Anggaran dalaman menunjukkan pertumbuhan dijangka rendah sedikit berbanding unjuran awal sebanyak 4.5% hingga 5.5% pada 2025.
“Namun begitu, Malaysia menghadapi cabaran ini dari kedudukan kukuh.”
Katanya, ketidakpastian tinggi berhubung keputusan rundingan perdagangan dan cara perdagangan global akan berubah kerana keputusan itu menyukarkan penilaian kesan sebenar terhadap pertumbuhan semasa.
“Julat unjuran pertumbuhan ekonomi rasmi baharu akan dikeluarkan dalam masa terdekat, sebaik sahaja faktor-faktor ini menjadi lebih jelas.”