Doktor gesa kerajaan larang jual vape seluruh negara

Doktor gesa kerajaan larang jual vape seluruh negara

Persatuan Perubatan Malaysia percaya larangan di seluruh negara langkah wajar lindungi kesihatan awam.

vape
Persatuan Perubatan Malaysia memuji kerajaan Johor, Terengganu, Kelantan dan Perlis kerana bertindak melarang penjualan vape dan rokok elektronik.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan melaksanakan larangan menyeluruh penjualan vape dan rokok elektronik di seluruh negara, sambil memuji empat negeri melaksanakannya.

Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata kesan buruk dan kos rawatan tinggi bagi merawat keadaan seperti kecederaan paru-paru dikaitkan dengan rokok elektronik atau vape (Evali) didokumentasikan dengan jelas.

Katanya, Kementerian Kesihatan melaporkan 41 kes Evali dari 2019 hingga 2024 dan kos merawat setiap pesakit mencecah RM150,000.

“MMA percaya larangan yang menyeluruh adalah langkah wajar untuk melindungi kesihatan awam.

“Kesihatan awam mesti diutamakan berbanding keuntungan, dan kita tidak boleh membiarkan produk berbahaya ini menjejaskan kesejahteraan generasi masa depan.

“Walaupun larangan peringkat persekutuan mungkin memerlukan pindaan undang-undang, ini tidak seharusnya melengahkan tindakan segera,” katanya dalam kenyataan.

Kalwinder turut memetik Kajian Penggunaan Tembakau Dewasa Global 2023 menunjukkan pengguna rokok elektronik meningkat mendadak sebanyak 600% dalam tempoh 12 tahun lalu, dengan kadar dalam kalangan individu berusia 15 hingga 25 tahun meningkat daripada 1.1% kepada 8.6% dalam tempoh sama.

Bimbang terhadap penggunaan vape dalam kalangan belia, beliau berkata tidak mengejutkan jika kanak-kanak terjebak produk itu memandangkan perisa dan pembungkusannya yang menarik.

“Kami juga amat bimbang dengan laporan pelajar seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape yang mengandungi bahan bercampur dadah.”

Rabu lalu, Perlis mengumumkan larangan penjualan vape akan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos, menyertai Johor, Kelantan dan Terengganu yang sudah melaksanakan larangan penuh terhadap penjualan vape.

Larangan di Terengganu akan bermula pada 1 Ogos, manakala Johor dan Kelantan masing-masing menguatkuasakan larangan itu sejak 2016 dan 2015.

Kedah pula memutuskan untuk tidak melaksanakan larangan menyeluruh, namun tidak akan memperbaharui permit perniagaan penjual vape selepas lesen tamat.

Kalwinder memuji kerajaan Johor, Terengganu, Kelantan dan Perlis atas tindakan tegas yang diambil demi kesihatan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.