Bomba kembali dapat cuti tambahan mula 1 Jun

Bomba kembali dapat cuti tambahan mula 1 Jun

JPA sebelum ini tangguh pelaksanaan hari rehat mingguan yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota.

bomba
Insentif hari rehat mingguan diberi untuk menghargai penat lelah dan pelbagai cabaran dilalui anggota bomba.
PETALING JAYA:
Anggota bomba bertugas sistem syif 12 atau 24 jam menerima khabar gembira apabila bakal menikmati hari rehat mingguan (HRM) tambahan bermula 1 Jun ini.

Pelaksanannya sepatutnya bermula 1 Mei lalu, namun ditangguhkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mahu menyelaras dan menambah baik insentif berkenaan.

Merujuk surat pekeliling ditandatangani Ketua Pengarah Bomba Nor Hisham Mohamad, JPA mendapati tambahan satu hari cuti rehat pada setiap sembilan syif bomba adalah teratur serta mematuhi syarat.

“Pelaksanaan HRM diteruskan berkuat kuasa 1 Jun,” menurut surat pekeliling itu yang dilihat FMT.

Sebelum ini, FMT melaporkan JPA menangguhkan pelaksanaan HRM bagi membolehkan jabatan itu menyelaras dan menambah baik pelaksanaannya, sekali gus menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan anggota bomba.

Rata-rata mereka mengeluh, perlukan rehat mencukupi memandangkan tugas dan tanggungjawab digalas saban hari semakin mencabar.

Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga dilapor mendesak bomba diberikan cuti tambahan untuk keseimbangan kerja dan kehidupan mereka, memandangkan ia tidak melibatkan sebarang penambahan peruntukan kewangan daripada kerajaan.

Cuepacs juga maklum anggota bomba tidak menerima bayaran setimpal apabila hanya menerima elaun bayaran insentif bomba (BIB) sebanyak RM110 sebulan bersamaan RM1.38 sejam, jauh lebih rendah berbanding risiko dan komitmen kerja.

Sebelum ini, FMT melaporkan keluhan warga bomba berhubung isu tersebut dan bayaran ganti cuti am sekitar 18 hingga 19 hari setahun, yang didakwa tidak setimpal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.