
Hisham Shafee berkata kemalangan maut tidak patut berulang dan perlu ditangani dengan pendekatan sistematik yang menekankan pencegahan awal.
Beliau mencadangkan sistem pemantauan berasaskan GPS diperkenalkan untuk menjejaki waktu operasi dan kelajuan lori, selain audit berkala terhadap syarikat logistik serta rekod pemandu.
Hisham turut menggesa penggunaan teknologi keselamatan seperti Automatic Emergency Braking (AEB) dan sistem pengesan keletihan pemandu secara mandatori dalam kenderaan berat.
“Antara faktor utama menyumbang kepada kadar kematian tinggi adalah keletihan pemandu, beban berlebihan, penyelenggaraan kenderaan yang lemah serta kelemahan dalam pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.
“Kenderaan berat tanpa piawaian keselamatan minimum tidak sepatutnya berada di atas jalan raya.
“Dalam banyak kes, pemandu terpaksa bekerja melebihi had masa wajar, tanpa sistem sokongan keselamatan teknologi seperti AEB atau ‘driver fatigue detection system’,” katanya dalam kenyataan.
Sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 di Sungai Senam, Ipoh, maut selepas trak mereka naiki dilanggar lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pada 8.50 pagi Selasa lalu.
Hisham menyarankan dasar latihan dan pengujian lesen pemandu komersial disemak semula, dengan penekanan kepada aspek keselamatan awam serta kemahiran teknikal.
Menurutnya, kempen kesedaran keselamatan jalan raya perlu dijalankan secara berterusan dengan penglibatan aktif NGO, pelajar universiti dan komuniti setempat.
“Keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi amanah bersama. Semua pihak termasuk pemain industri, agensi penguat kuasa, NGO dan orang ramai perlu berganding bahu mewujudkan budaya jalan raya lebih selamat.”