6 mengaku salah beri maklumat palsu daftar kelahiran bayi

6 mengaku salah beri maklumat palsu daftar kelahiran bayi

Semua tertuduh yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur didenda antara RM500 hingga RM2,000.

gavel
Robert Lewis Machado, Ng Sa Ngi, Muklisin, Thian Chong Wai, How Hang Gee dan Mohd Ghazali Ghani mengaku salah kemuka maklumat palsu ketika mohon pendaftaran kelahiran di kaunter JPN. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Enam lelaki didenda antara RM500 hingga RM2,000 oleh Mahkamah Majistret berasingan selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan permohonan pendaftaran kelahiran.

Semuanya yang berusia antara 56 hingga 71 tahun itu membuat pengakuan masing-masing di hadapan Majistret Amira Abd Aziz, S Mageswary, Farah Nabiha Muhamad Dan, Illi Marisqa Khalizan, Aina Azahra Ariffin serta Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara antara seminggu hingga tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Robert Lewis Machado, Ng Sa Ngi, Muklisin, Thian Chong Wai, How Hang Gee dan Mohd Ghazali Ghani, didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran bagi enam bayi di beberapa kaunter JPN di sekitar ibu negara sejak 2004 hingga 2022.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 dan penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, seorang lagi tertuduh S Rejandran, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah membenarkannya diikat jamin RM1,200 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Mohamad Ezuan Jamaludin, Arief Khairee Khairuddin, Mazrul Azli Matrus dan Hairul Azlin Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.