
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan berkata kehadiran pelatih adalah wajib dan kegagalan berbuat demikian tanpa alasan munasabah atau pengesahan masalah kesihatan oleh pakar perubatan akan dianggap sebagai ingkar arahan.
“(Mereka juga) boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan sedia ada Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara,” kata kenyataan itu.
Menerusi peruntukan itu, individu yang tidak menghadirkan dirinya boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, JLKN mengingatkan bahawa sebarang usaha oleh pihak lain untuk menghasut atau memujuk mana-mana pelatih agar tidak hadir tanpa kebenaran juga merupakan suatu kesalahan yang serius mengikut Seksyen 19(2) Akta Latihan Khidmat Negara.
“Jabatan ini menyeru semua yang terlibat agar memberikan kerjasama sepenuhnya demi kelancaran pelaksanaan program serta pembangunan jati diri generasi muda negara,” katanya.
Seramai 550 pelatih membabitkan 350 pelatih lelaki dan 200 pelatih wanita, dijangka menyertai PLKN kali ini yang berlangsung selama 45 hari bermula 11 Mei hingga 24 Jun.
Sebelum ini JLKN turut memaklumkan pihaknya menerima pelatih yang mendaftar secara sukarela, bergantung kepada kekosongan dan setakat ini seramai 30 pelatih sukarela sudah mendaftar.
PLKN 3.0 siri 1 dilaksanakan pada 12 Jan hingga 25 Feb lalu selepas tujuh tahun dimansuhkan membabitkan 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Pelaksanaan semula program ini secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia, selain membekalkan mereka dengan ketahanan fizikal serta mental dalam menghadapi cabaran hidup.